er Researcher Institute of Malay World and Civilization UKMf

My photo
Bandar Baru Bangi, Selangor, Malaysia
An Agri/Horticulturist and Botanist, German Foundation Scholar, Former researcher, Institute of Malay World and Civilization National University Malaysia

Wednesday, June 17, 2009

Membaharui Lesen Senjata Api/Senapang

Pada 17 Jun,09, saya tergesa-gesa ke Balai Polis Bandar Baru Bangi untuk membaharui lesen Senapang. Pukul 8.30 pagi sudah ramai yang datang membawa senapang masing-masing. Setahun sekali dapat juga berjumpa dengan kawan-kawan lama yang memiliki senapang. Kebanyakan mereka sudah tua, menjangkau umur 60-80 tahun. Senapang mereka agak sudah sebaya dengan mereka. Kebanyakannya terdiri daripada senapang patah. Lain pula dengan pemilik senjata yang mempunyai senapang jenis termoden, semi-auto shotgun yang berkilat-kilat. Kebanyakannya terdiri daripada golongan muda.
Bukannya mudah untuk mendapat lesen senjata api, seperti senapang kecuali mempunyai harta atau tanah yang luas. Kebanyakan yang mempunyai senapang adalah untuk menjaga musuh tanaman di dusun-dusun. Yang lainnya untuk keselamatan diri dan harta.
Sementara menunggu untuk senapang dipereksa, ada yang bercerita tentang dusun buah-buahannya tidak lagi selamat. Bukan sahaja monyet yang banyak tetapi juga buah-buah durian, cempedaknya dicuri orang. Yang lainnya pula bercerita tentang ikan peliharaannya dijala oleh orang di waktu malam. Ada pula yang bercerita kebun getahnya dicuri toreh oleh pendatang asing.
Bagi pemilik senjata api yang sudah berumur dan kurang sehat telah diberi ingat supaya menukarkan hak milik kepada anak-anak. Ramai pula menyatakan anak-anaknya bukan sahaja tidak berminat dengan senjata api tetapi tidak berminat dengan pertanian dan dusun, selain tidak tahu cara bagaimana hendak menukar hakmilik senjata tersebut. Ada juga yang telah membuat permohonan tetapi bertahun-tahun tidak lulus
Akhirnya, lesen senapang saya diperbaharui. Dan saya bersyukur, ada setahun lagi dapat memiliki senapang bagi menjaga keselamatan diri dan tanaman saya.

Tuesday, June 9, 2009

UNDANG-UNDANG BIJI BENIH LANGKAH PERTAMA DALAM MEMAJUKAN PERTANIAN

Malaysia masih lagi dianggap sebagai negara pertanian. Sebilangan besar rakyat Malaysia masih lagi bergantung hidup kepada pertanian. Bagaimanapun, sektor ini jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan negara-negara jiran.

Semasa era Dasar Ekonomi Baru (DEB)Kementerian Pertanian telah distruktur semula dengan berpuluh-puluh Jabatan ditubuhkan untuk memajukan pertanian, seperti MARDI, RISDA, Univerisiti Pertanian, FELDA, FELCRA, FAMA, Majuternak, Majuikan, Jabatan Kemajuan Pertanian Negeri dan lain-lain. Bagaimanapun akhirnya, Jabatan-jabatan ini terpaksa ditutup. Tinggallah Jabatan seperti MARDI, RISDA, FELCRA dll yang tidak begitu diketahui tentang fungsi dan peranannya. Jelas sekali peranan Jabatan-Jabatan ini bertindis-tindis antara satu dengan yang lain. Contohnya Jabatan Pertanian dan MARDI.

Sebenarnya kita bukanlah pakar dalam pertanian untuk makanan. Kita sebenarnya pakar dalam perladangan komoditi bukan makanan seperti Getah dan Kelapa sawit. Satu ketika dahulu, ada saranan supaya kita mempelbagai dan memperbanyakan komoditi makanan. Saranan ini hilang begitu sahaja

Baru-baru ini nampaknya ada visi pembangunan dalam penyelidikan pertanian, terutamanya dalam sektor perladangan. Dua penyelidik korprat, ia itu Asiatic Centre for Genome Technology Sdn Bhd dan Sime Darby Genomics Sdn Bhd terberjaya menghuraikan genome Kelapa sawit. Kejayaan teknologi ini, pengeluaran buah kelapa sawit dapat ditingkatkan berlipat ganda sehingga 35 tons sehektar, ekstraksi minyak pula sebanyak 25% dan minyak mentah pula sekurang-kurang 8 ton sehektar

Dalam tahun 2020, peladang Kelapa sawit akan dapat menikmati hasil penyelidikan ini daripada benih kelapa sawit yang dihasilkan daripada penghuraian DNA Genome kelapa sawit.
Dapatkah pekebun-pekebun kecil Kelapa sawit menikmati hasil benih terpilih ini? Saya teringat lagi dalam tahun 1970an benih-benih yang ditanam di rancangan Felda dan pekebun-pekebun kecil terdiri daripada benih liar, bukan benih terpilih seperti DxP atau Tenera. Jelas sekali itulah sebab-sebabnya pengeluaran buah ladang FELDA dan pekebun kecil amat rendah pada masa itu.

Begitulah juga tentang tanaman lain, seperti tanaman Getah. Benih yang tanam bagi pekebun-pekebun kecil bukanlah daripada klon terpilih dan siri RRI. Benih-benih terpilih daripada RRI terus di “export”.

Begitu juga bila sampainya musim buah-buahan. Buah Durian dijual ditepi jalan. Jelas ditulis Durian D 24. Banyaklah yang tertipu. D 24 tidak ada yang tulen lagi sejak benihnya ditemui di Perak dalam 1937. Ramailah yang tertipu

Apa sebenarnya berlaku ialah kita tidak mempunyai undang-undang biji benih. Berbanding dengan negara yang maju, industri biji benih merupakan langkah pertama dalam mamajukan pertanian. Mengapakah kita masih mengimport biji benih sayuran dan bunga-bungaan dari luar. Tanaman Landskap juga diimport dari luar negara?

Kita mengucapkan syabat kepada Asiatic Centre for Genome Technology Sdn Bhd dan Sime Darby Genomics Sdn Bhd yang telah berjaya menghuraikan DNA genome Kelapa sawit seterusnya menghasilkan benih kelapa sawit yang berteknologi tinggi. Apakah peranan yang dimainkan oleh Jabatan Pertanian, Mardi, Porim, Felda. Ketiadaan undang-undang biji benih macam-macam boleh berlaku terhadap benih kelapa yang berteknologi tinggi ini

Tuesday, June 2, 2009

Durian kampung dan Durian Cantum D24








Malaysia merupakan negara yang mempunyai kepelbagaian spesies Durian.
Buah yang unik ini dikatakan raja segala buah-buahan tropika. Buah ini juga menjadi kontroversi kerana baunya tidak disenangi oleh masyarakat barat.

Di kampung-kampung tradisi Melayu, pokok Durian amat dominan dan ditanam dalam konsep dusun, bercampur-campur dengan pokok-pokok buah-buahan lain, tidak mengikut jarak tanaman dan hidup bersimbiosis antara satu dengan yang lain sehingga terdapat kepelbagaian spesies buah-buahan. Bagaimanapun, buah Durian yang ditanam di kampung-kampung tradisi tidak dapat ditentukan kebaikannya. Kebanyakannya tidak begitu enak dimakan. Tuan punya dusun mengetahui ada pokok-pokok Durian dalam dusunnya yang mempunyai buah yang baik dan enak dimakan.

Usaha mencari buah Durian yang baik dan enak dimakan serta dapat memenuhi keperluan pasaran mula dilakukan oleh ahli-ahli sains pertanian Inggeris
Pengumpulan biji benih dan teknik cantuman diperkenalkan di Federal Experimental Station, Serdang di awal kurun yang ke dua puluhan

Beberapa klon Durian yang terpilih telah dapat dihasilkan. Antaranya klon D 2 ( Dato’ Nina ), Melaka 1934, D 10 ( Durian hijau ) Kajang 1934, D 24 Kuala Kangsar, 1937. Berbagai-bagai klon juga terdapat dan ditanam di Serdang bagi menentukan kualiti buah.

Masyarakat Melayu tidak begitu berminat menanam Durian cantuman ini dan lebih suka menanam pokok Getah, Koko dan Kelapa sawit. Bagaimanapun, sedikit sebanyak ada juga pokok Durian cantuman ini ditanam. Antara yang popular ialah D 24. Selain itu pekebun Cina pula menanam Klon pilihan sendiri seperti D 101 dan di Pulau Pinang terdapat berbagai-bagai klon terpilih yang dikawal oleh peladang-peladang Durian.

Bila sampai musim Durian, penggemar Durian biasanya akan membeli Durian ditepi jalan. Biasanya buah Durian ini dijual mengikut timbangan kilogram. Kerap kali pembeli tertipu. Durian kampung biasa dikatakan D 24, atau D 101. Ramai yang tidak kenal dengan Durian D 24 ini. Durian D 24 terlalu nadir dan tidak tulen lagi. Klon ini sudah berusia lebih 70 tahun.

Penggemar Durian biasanya akan berpaling kepada Durian yang di import dari Thailand. Rasanya tidak lah begitu enak kerana Durian ini ada hasil peraman.
Kita sungguh rasa kagum dengan industri Durian Thailand.

Bila saya balik kampung di musim Durian tidak lama dulu, alangkah enaknya buah Durian D 24 yang tulen, hasil benih yang di bawa dari Serdang. Tidak lama dulu saya pergi ke ladang FES ingin melihat klon-klon Durian tetapi sudah tidak ada lagi.