er Researcher Institute of Malay World and Civilization UKMf

My photo
Bandar Baru Bangi, Selangor, Malaysia
An Agri/Horticulturist and Botanist, German Foundation Scholar, Former researcher, Institute of Malay World and Civilization National University Malaysia

Tuesday, April 21, 2009

Pokok Taman Pantun Di tebang


Kandis
Garcinia cowa Roxb.
Famili: Guttiferae

Buah Kandis dimakan budak,
Hendak ditebang tiada beliung;
Hendak menangis bukannya budak,
Hendak terbang bukannya burung.

Buah Kandis dimakan budak,
Hendak ditebang tiada gergaji;
Menangis tidak ketawapun tidak
Bila tangan sudah digari
Peristiwa Yang Menyayat Hati


Pantun dianggap sebagai genre asli, unik dan merupakan khazanah dalam kehidupan masyarakat Melayu. Memandangkan kedudukan pantun yang begitu sinonim dengan pemikiran dan kebudayaan Melayu serta penuh dengan nilai-nilai estetika bahasa telah menarik ramai sarjana tempatan dan barat mengkaji dan meminati pantun.

Kajian yang banyak dibuat terhadap pantun berlegar tentang takrifan pantun, jenis, asal usul dan peranannya dalam masyarakat Melayu. Kajian dari aspek sains pula, terutama tentang flora dan fauna yang menjadi elemen dalam pantun, tidak banyak dilakukan.

Semasa berkhidmat di Universiti Kebangsaan Malaysia saya telah menubuhkan sebuah Taman Pantun, di Universiti tersebut. Konsep Taman Pantun ini merupakan pemuliharaan spesies tumbuh-tumbuhan yang sering disebut dalam pantun tradisional dan puisi. Tujuan Taman Pantun ini merupakan cara penyibaran hasil sastera yang ada kaitannya dengan sains, terutamanya tentang etnobotani Melayu.

Dalam sebuah Taman Pantun, sambil berjalan-jalan atau beriadhah, khalayak dan pelajar-pelajar boleh membaca pantun pada plak yang diletakkan pada tumbuhan yang dikenalpasti berkaitan dengan pantun. Dengan sendirinya khalayak dan pelajar-pelajar akan dapat memahami tentang kekayaan warisan sastera yang ada kaitannya dengan sains, seterusnya dapat memahami pemikiran, seni dan kebudayaan Melayu, sebagai lambang kebijaksanaan berfikir dan identiti kelompok-kelompok Melayu yang lahir sejak ratusan tahun yang lampau.

Terdapat kira-kira 250 spesies tumbuhan yang disebut dalam pantun, jampi serapah yang berupa pantun dan pribahasa. Kebanyak spesies pokok yang disebut dalam pantun ini tidak dapat dikenalpasti oleh generasi sekarang. Spesies yang disebut dalam pantun ini mungkin tidak dapat dikenalpasti oleh pemantun juga sarjana-sarjanan pantun. Pemantun mungkin tahu nama tumbuhan yang disebut dalam pantun sahaja tetapi tidak pernah melihat tumbuhan tersebut.

Kawasan seluas 16 ekar telah dibangunkan dan sebilingan besar spesies tumbuhan yang disebut dalam pantun tradisi ditanam. Penanamanya juga mengikut konsep semula jadi sehingga spesies tumbuhan hidup bersimbiosis antara satu dengan yang lain. Taman ini telah dilancarkan pada 17 September, 1990.

Alangkah sedih dan keciwanya saya apabila saya bersara pada 1997, Taman Pantun sudah tidak ada lagi. Sebilangan besar koleksi spesies yang ditanam sudah ditebang.

Lebih memilukan saya, amat sukar bagi saya mendokumentasikan spesies tumbuhan tersebut dalam penulisan saya iaitu buku Dalam Taman Pantun. Saya terpaksa mencari tumbuhan itu semula untuk dibukukan. Kini buku tersebut telahpun siap ditulis, malang sekali penerbit seperti DBP tidak berminat menerbitkannya.

Betullah kata pepatah Melayu:

Sekali air bah, sekali pantai berubah