er Researcher Institute of Malay World and Civilization UKMf

My photo
Bandar Baru Bangi, Selangor, Malaysia
An Agri/Horticulturist and Botanist, German Foundation Scholar, Former researcher, Institute of Malay World and Civilization National University Malaysia

Monday, September 19, 2011

Pisang Berasal Dari Indo Malesia

 

Pisang

Musa L

Pokok Pisang merupakan tumbuhan herba dan merupakan tanaman buah yang mudah ditemui. Bagaimanapun, tidak ramai yang tahu bahawa pokok Pisang berasal dari Indo-Malesia. Leluhurnya Musa acuminata masih lagi terdapat di hutan-hutan Malaysia.. Bagaimanapun, mengenalpasti berbagai-bagai jenis Pisang atau kultivar-kultivarnya sukar dilakukan kerana terdapat berbagai-bagai nama yang mengelirukan. Nama saintifiknya juga amat mengelirukan.

Pisang hutan

Pisang Hutan

Mengikut Simmond dan Shepherd , Pisang hutan ( Musa acuminata Colla ) dan subspesiesnya yang terdapat di sekitar Indo-Malesia dan Pisang batu atau dikenali juga dengan Pisang banggala (Musa balbisiana Colla ) yang terdapat di sekitar India, Filipina dan New Guinea. merupakan leluhur Pisang yang ditanam sekarang.

Mengikut Simmond dan Shepherd lagi, Pisang hutan (Musa acuminata) yang diploid (Genom AA) tumbuh liar di hutan-hutan dan buahnya berbiji banyak. Kemandulan betina dan partenokarpi terjadi kepada Pisang hutan ini lalu menyebabkan buahnya tidak berbiji.

Pisang hutan yang tidak berbiji ini menjadi tanaman dan seterusnya melalui aktiviti manusia seperti proses pemilihan baka, pembiakan secara vegetatif telah menghasilkan kultivar seperti Pisang lilin, Pisang kapas dan Pisang emas

Seterusnya Pisang hutan (Musa acuminata) yang triploid (Genom AAA) melalaui partenokarpi dan penghibridan antara subspesies Musa acuminata yang diploid (Genom AA) ditemui. Contohnya seperti Pisang masak hijau, Pisang embun dan Pisang berangan.

Pisang batu ( Musa balbisiana) yang diploid (Genom BB) ialah juga spesies Pisang liar dan terdapat di kawasan India, Filipina dan New Guinea. Aktiviti manusia juga mungkin membawa Musa acuminata yang diploid dan triploid (Genom AA dan AAA) ke tempat-tempat Musa bulbisiana diploid ( Genom BB ) hidup, seperti India, Indochina dan timur Malesia. Penghibridan antara kedua-dua spesies pisang ini berlaku dan menghasilkan hibrid diploid AB. Seterusnya hibrid diploid AB ini menghasilkan pula triploid AAB dan ABB. Contohnya Pisang ini seperti Pisang rastali, Pisang raja, Pisang awak dan Pisang abu.

Simmond dan Shepherd seterusnya menamakan kultivar-kultivar pisang ini mengikut genom berdasarkan kod tatanama tanaman antarabangsa

Di Malaysia terdapat berbagai-bagai kultivar Pisang. Antara yang sangat menarik dan terbesar ialah Pisang tanduk atau Pisang helang. Uniknya pisang ini,  tidak berjantung seperti pisang-pisang lain.

 

Pisang tandok  Pisang tanduk

Walaupun kita mempunyai berbagai-bagai kultivar pisang, penyelidikan terhadap kultivar pisang tidak banyak dilakukan

1 comment:

  1. information yg sangat menarik dan berguna kpd saya..terima kasih.

    ReplyDelete