er Researcher Institute of Malay World and Civilization UKMf

My photo
Bandar Baru Bangi, Selangor, Malaysia
An Agri/Horticulturist and Botanist, German Foundation Scholar, Former researcher, Institute of Malay World and Civilization National University Malaysia

Monday, October 12, 2009

Pokok Bangkong Sudah Pupus - Sukar Ditemu Lagi


Aku dilahirkan di sebuah kampung bernama Kampung Tanjung Bangkong, terletak di sebuah pekan kecil, Malim Nawar, Perak. Masa aku kecil-kecil dahulu aku bertanya emakku tentang nama kampung ku ini. Kata emak , kampung ini dinamakan Tanjong Bangkong, ialah kerana terdapat di hujung kampung ini sebatang pokok Bangkong yang cukup besar. Aku hanya dapat melihat tunggul pokok ini, memang saiznya cukup besar


Kebetulan berdekatan dengan rumahku terdapat sebatang pokok Bangkong, yang agak besar juga saiznya. Aku ingat tentang pokok Bangkong ini, kerana di zaman kanak-kanak, kami gemar memakan buahnya. Buahnya agak besar, tetapi isinya nipis dan rasanya agak manis juga apabila cukup masak. Yang paling seronok ialah memakan biji Bangkong. Bijinya agak besar dan kami kanak-kanak memungut biji-biji Bangkong ini dan direbus. Setelah masak dimakan dengan gula. Nostalgia ini masih terbayang dan rasa biji Bangkong rebus masih menjadi kenangan. Emak pula sering memasak lemak biji Bangkong ini dengan ikan puyu atau ikan lampam..oh sedapnya.
Kini pokok Bangkong di kampungku itu sudah tiada lagi.


Bila aku sudah menjadi seorang ahli kajitumbuhan ( Botanist) aku menanam sebatang pokok Bangkong di Taman Pantun UKM. Dapat juga aku melihat buahnya, tetapi tidak setanding dengan pokok Bangkong di kampungku dulu. Malang sekali, pokok Bangkong di Taman Pantun juga telah ditebang dan Taman Pantun tinggal nama sahaja.


Konon ceritanya pokok Bangkong ini ( Artocarpus integer var. silvestris Corner) ia lah varieti Cempedak. Tetapi Cempedak tidak terdapat tumbuh liar di hutan sedangkan Bangkong dahulunya biasa terdapat tumbuh liar di hutan. Saya rasa Cempedak berasal daripada Bangkong setelah dilakukan pemilihan baka dalam aktiviti berdusun oleh nenek mayang kita dahulu


Sebagai tanaman budaya Melayu, Bangkong disemadikan bagi nama tempat seperti, Tanjung Bangkong, Bukit Bangkong, dll, sedang Bangkong sudah pupus buat selama-lamanya



2 comments:

  1. Wow, blog ini saya rasakan amat menarik kerana diolah dengan gabungan ilmu botanical dan cerita-cerita santai nostalgia. Syabas, terus menulis artikel menarik seperti ini. Saya yakin ramai yang akan menjadi pengikut blog ini bila dipromosikan.Tentunya saya akan menjadi pengikut anda yang setia.

    ReplyDelete
  2. Mana lagi agaknya nak dicari bangkok asal ini?

    ReplyDelete