er Researcher Institute of Malay World and Civilization UKMf

My photo
Bandar Baru Bangi, Selangor, Malaysia
An Agri/Horticulturist and Botanist, German Foundation Scholar, Former researcher, Institute of Malay World and Civilization National University Malaysia

Tuesday, November 17, 2009

Buah Setambun Merah Sudah Hampir Pupus












Seorang teman saya telah memberi saya gambar buah untuk dikenalpasti. Alangkah seronoknya saya, buah ini ia lah buah Setambun jantan atau Setambun merah atau lebih di kenali dengan nama saintifiknya Baccaurea parviflora yang tergulung dalam famili Euphorbiaceae. Buah ini termasuk dalam kumpulan buah Rambai atau Tampoi.

Keunikan pokok ini, ia mempunyai buahnya yang banyak sehingga ratusan pada tangkai tangkai yang panjang dan bertambun di pangkal pokok. Buahnya bujur runcing berwarna merah bertukar keunguan apabila masak. Buah ini berpangsa tiga mengandungi 1-3 biji yang selaputi oleh palpa dan rasanya agak masam.


Pada satu ketika dahulu pokok Setambun merah ini mudah di temui di dusun-dusun. Oleh sebab rasanya agak masam tetapi kayunya sangat cantik dan keras, pokok ini terus ditebang dan kayunya dijadi kraf yang sangat mahal harganya. Pokok ini terus ditebang sehingga sukar ditemu lagi. Kekayaan warisan negara kita tidak lagi dapat dipulihara.

Saturday, November 7, 2009

Cendawan Busut Sukar Ditemui Lagi




Bagi masyarakat desa, Cendawan busut amat digemari. Bila sampai sahaja musim hujan, ramai lah mencari Cendawan ini. Bagaimanapun, Candawan ini sukar ditemui lagi. Pepatah Melayu yang menyebut" Seperti Cendawan tumbuh selepas hujan.... " tak boleh dipakai lagi.

Cendawan busut ( Termitomyces albuminosa ) yang tumbuh di permukaan tanah dikaikan dengan anai-anai yang tergulus dalan genus Odontotermes. Anai-anai membuat sarang di dalam tanah dan "menanam" cendawan ini untuk membantu penghuraian bahan-bahan selulosa yang menjadi makanannya. Miselium Cendawan ini meliputi sekitar sarang anai-anai ini, seolah-olah seperti taman. Ada ketika, biasanya selepas musim hujan, jasat buah terjadi daripada miselium ini dan tumbuh hingga kepermukaan tanah. Jasat buah inilah yang merupakan Cendawan. Cendawan ini terdapat juga beberapa spesies, seperti Cendawan busut, Cendawan tali, Cendawan peha ayam dll. Semuanya amat enak dimakan.

Penggunaan terlalu banyak pestisid menyebabkan Anai-anai semakin pupus. itulah sebabnya Cendawan-cendawan ini sukar ditemui lagi.


Pertumbuhan Cendawan ini masih lagi tidak difahami dan penanamanya masih tidak dapat dilakukan lagi. Kita juga tidak ada pakar dalam bidang kaji Cendawan.




Sunday, November 1, 2009

Pisang Seribu,Pisang yang Unik Terdapat Di Malaysia




Malaysia merupakan pusat kepelbagaian Pisang. Leluhur Pisang terdapat di Malaysia, ia itu Pisang hutan ( Musa acuminata ). Melalui pemilihan baka, terdapat berbagai-bagai jenis Pisang. Seterus nenek moyang kita zaman dahulu suka belayar dan membawa Pisang-Pisang ini sekitar Indo-Malesia. Di sana terdapat pula Pisang batu atau Pisang benggala (Musa bulbisiana ). Kedua-kedua jenis Pisang ini berlaku kacukan dan seterusnya menghasilkan berbagai-bagai jenis Pisang seperti yang terdapat sekarang.

Antara jenis Pisang yang sangat unit ialah Pisang seribu atau Pisang belalai gajah ( Musa acuminata x bulbisiana (AAB Group) cv. Pisang seribu. Buahnya kecil. berjumlah ratusan bersesak-sesak pada tandan yang panjang sehingga sampai ke aras tanah. Rasa buah pisang ini agak manis dan kelat sedikit. Biasanya Pisang ini jarang dimakan segar tetapi dibuat kueh atau cucur.

Pisang seribu jarang-jarang ditemui lagi. Pisang ini kadang-kadang ditemui juga ditanam di sekitar rumah sebagai koleksi persendirian kerana keunikan buahnya.

Kita terlalu banyak mempunyai jenis-jenis Pisang sama ada yang boleh dimakan segar atau di masak. Saya masih ingat kata emak di musim Jepun dulu, ketiadaan beras, emak makan nasi berandau ( campur) pisang. Mujur lah pada zaman itu masih banyak pokok Pisang di kampung-kampung. Kalau sekarang tidak banyak lagi pokok Pisang ditanam di kampung-kampung. Dan banyak pula jenis-jenis Pisang yang telah pupus.