Artocarpus odoratissimus
Famili: Moraceae
Nama Tempatan: Marang
Tarap
Pingan
Semasa saya melawat Taman Pertanian Tenom Sabah, saya telah ditunjukkan sebatang pokok yang lebat berbuah. Setelah melihat buahnya dan labelnya ditulis Artocarpus odoratissimus
jelaslah pokok ini yang saya cari selama ini. Orang Sabah memanggilnya Tarap dan Pingan. Orang Sulu pula memanggilnya Marang. Orang Basilan dan Mandanao pula memanggilnya Morang.
Di Terengganu terdapat sebuah bandar yang di Panggil Marang. Mungkinkah bandar ini dinamakan atau dikaitkan dengan pokok Marang. Sukarlah hendak membuktikannya, kerana pokok Marang mungkin tidak ada lagi di sekitar bandar tersebut dan pokok Marang pula bukanlah berasal dari Semenanjung. Pokok Marang berasal dari Borneo, kepulauan Sulu dan Mandanao. Pokoknya masih lagi terdapat tumbuh liar di hutan atau ditanam di kampung-kampung.
Masyarakat Melayu zaman dahulu amat terkenal sebagai ahli pelayaran. Mungkin ada di kalangan ahli pelayaran ini membawa balik buah-buahan, termasuklah buah Marang ke Terengganu. Buah Marang ini ditanam di sebuah penempatan dan kerana keunikan buah Marang, tempat itu terus di namakan Marang. Dalam hal ini banyak bukti yang boleh dipercayai. Banyak persamaan nama-nama buah-buahan antara Semenanjung Malaysia dan Filipina.
Pokok Marang merupakan pokok yang sederhana saiznya, mencapai ketinggian 20 meter dan berbanir sedikit. Buahnya sinkarpa, subglobos, 15 - 20 cm panjang, 10 - 13 cm lebar, kulitnya bak duri lembut tumbuh rapat-rapat, sepanjang 1 cm. Bijinya sub globos, 2 cm diameter dan dibaluti isi yang tebal berwarna keputihan, berjuz dan beraroma kuat. Rasanya manis.
Marang mudah dibiakan dengan cara menyemai biji benih. Marang merupakan buah nadir dan tidak dibudidayakan sebagai tanaman.
Ismail Saidin
Consultant Botanist & Malay World