er Researcher Institute of Malay World and Civilization UKMf

My photo
Bandar Baru Bangi, Selangor, Malaysia
An Agri/Horticulturist and Botanist,former researcher Institute of Malay World and Civilization National University Malaysia

Wednesday, June 17, 2009

Membaharui Lesen Senjata Api/Senapang

Pada 17 Jun,09, saya tergesa-gesa ke Balai Polis Bandar Baru Bangi untuk membaharui lesen Senapang. Pukul 8.30 pagi sudah ramai yang datang membawa senapang masing-masing. Setahun sekali dapat juga berjumpa dengan kawan-kawan lama yang memiliki senapang. Kebanyakan mereka sudah tua, menjangkau umur 60-80 tahun. Senapang mereka agak sudah sebaya dengan mereka. Kebanyakannya terdiri daripada senapang patah. Lain pula dengan pemilik senjata yang mempunyai senapang jenis termoden, semi-auto shotgun yang berkilat-kilat. Kebanyakannya terdiri daripada golongan muda.
Bukannya mudah untuk mendapat lesen senjata api, seperti senapang kecuali mempunyai harta atau tanah yang luas. Kebanyakan yang mempunyai senapang adalah untuk menjaga musuh tanaman di dusun-dusun. Yang lainnya untuk keselamatan diri dan harta.
Sementara menunggu untuk senapang dipereksa, ada yang bercerita tentang dusun buah-buahannya tidak lagi selamat. Bukan sahaja monyet yang banyak tetapi juga buah-buah durian, cempedaknya dicuri orang. Yang lainnya pula bercerita tentang ikan peliharaannya dijala oleh orang di waktu malam. Ada pula yang bercerita kebun getahnya dicuri toreh oleh pendatang asing.
Bagi pemilik senjata api yang sudah berumur dan kurang sehat telah diberi ingat supaya menukarkan hak milik kepada anak-anak. Ramai pula menyatakan anak-anaknya bukan sahaja tidak berminat dengan senjata api tetapi tidak berminat dengan pertanian dan dusun, selain tidak tahu cara bagaimana hendak menukar hakmilik senjata tersebut. Ada juga yang telah membuat permohonan tetapi bertahun-tahun tidak lulus
Akhirnya, lesen senapang saya diperbaharui. Dan saya bersyukur, ada setahun lagi dapat memiliki senapang bagi menjaga keselamatan diri dan tanaman saya.

Tuesday, June 9, 2009

UNDANG-UNDANG BIJI BENIH LANGKAH PERTAMA DALAM MEMAJUKAN PERTANIAN

Malaysia masih lagi dianggap sebagai negara pertanian. Sebilangan besar rakyat Malaysia masih lagi bergantung hidup kepada pertanian. Bagaimanapun, sektor ini jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan negara-negara jiran.

Semasa era Dasar Ekonomi Baru (DEB)Kementerian Pertanian telah distruktur semula dengan berpuluh-puluh Jabatan ditubuhkan untuk memajukan pertanian, seperti MARDI, RISDA, Univerisiti Pertanian, FELDA, FELCRA, FAMA, Majuternak, Majuikan, Jabatan Kemajuan Pertanian Negeri dan lain-lain. Bagaimanapun akhirnya, Jabatan-jabatan ini terpaksa ditutup. Tinggallah Jabatan seperti MARDI, RISDA, FELCRA dll yang tidak begitu diketahui tentang fungsi dan peranannya. Jelas sekali peranan Jabatan-Jabatan ini bertindis-tindis antara satu dengan yang lain. Contohnya Jabatan Pertanian dan MARDI.

Sebenarnya kita bukanlah pakar dalam pertanian untuk makanan. Kita sebenarnya pakar dalam perladangan komoditi bukan makanan seperti Getah dan Kelapa sawit. Satu ketika dahulu, ada saranan supaya kita mempelbagai dan memperbanyakan komoditi makanan. Saranan ini hilang begitu sahaja

Baru-baru ini nampaknya ada visi pembangunan dalam penyelidikan pertanian, terutamanya dalam sektor perladangan. Dua penyelidik korprat, ia itu Asiatic Centre for Genome Technology Sdn Bhd dan Sime Darby Genomics Sdn Bhd terberjaya menghuraikan genome Kelapa sawit. Kejayaan teknologi ini, pengeluaran buah kelapa sawit dapat ditingkatkan berlipat ganda sehingga 35 tons sehektar, ekstraksi minyak pula sebanyak 25% dan minyak mentah pula sekurang-kurang 8 ton sehektar

Dalam tahun 2020, peladang Kelapa sawit akan dapat menikmati hasil penyelidikan ini daripada benih kelapa sawit yang dihasilkan daripada penghuraian DNA Genome kelapa sawit.
Dapatkah pekebun-pekebun kecil Kelapa sawit menikmati hasil benih terpilih ini? Saya teringat lagi dalam tahun 1970an benih-benih yang ditanam di rancangan Felda dan pekebun-pekebun kecil terdiri daripada benih liar, bukan benih terpilih seperti DxP atau Tenera. Jelas sekali itulah sebab-sebabnya pengeluaran buah ladang FELDA dan pekebun kecil amat rendah pada masa itu.

Begitulah juga tentang tanaman lain, seperti tanaman Getah. Benih yang tanam bagi pekebun-pekebun kecil bukanlah daripada klon terpilih dan siri RRI. Benih-benih terpilih daripada RRI terus di “export”.

Begitu juga bila sampainya musim buah-buahan. Buah Durian dijual ditepi jalan. Jelas ditulis Durian D 24. Banyaklah yang tertipu. D 24 tidak ada yang tulen lagi sejak benihnya ditemui di Perak dalam 1937. Ramailah yang tertipu

Apa sebenarnya berlaku ialah kita tidak mempunyai undang-undang biji benih. Berbanding dengan negara yang maju, industri biji benih merupakan langkah pertama dalam mamajukan pertanian. Mengapakah kita masih mengimport biji benih sayuran dan bunga-bungaan dari luar. Tanaman Landskap juga diimport dari luar negara?

Kita mengucapkan syabat kepada Asiatic Centre for Genome Technology Sdn Bhd dan Sime Darby Genomics Sdn Bhd yang telah berjaya menghuraikan DNA genome Kelapa sawit seterusnya menghasilkan benih kelapa sawit yang berteknologi tinggi. Apakah peranan yang dimainkan oleh Jabatan Pertanian, Mardi, Porim, Felda. Ketiadaan undang-undang biji benih macam-macam boleh berlaku terhadap benih kelapa yang berteknologi tinggi ini

Tuesday, June 2, 2009

Durian kampung dan Durian Cantum D24








Malaysia merupakan negara yang mempunyai kepelbagaian spesies Durian.
Buah yang unik ini dikatakan raja segala buah-buahan tropika. Buah ini juga menjadi kontroversi kerana baunya tidak disenangi oleh masyarakat barat.

Di kampung-kampung tradisi Melayu, pokok Durian amat dominan dan ditanam dalam konsep dusun, bercampur-campur dengan pokok-pokok buah-buahan lain, tidak mengikut jarak tanaman dan hidup bersimbiosis antara satu dengan yang lain sehingga terdapat kepelbagaian spesies buah-buahan. Bagaimanapun, buah Durian yang ditanam di kampung-kampung tradisi tidak dapat ditentukan kebaikannya. Kebanyakannya tidak begitu enak dimakan. Tuan punya dusun mengetahui ada pokok-pokok Durian dalam dusunnya yang mempunyai buah yang baik dan enak dimakan.

Usaha mencari buah Durian yang baik dan enak dimakan serta dapat memenuhi keperluan pasaran mula dilakukan oleh ahli-ahli sains pertanian Inggeris
Pengumpulan biji benih dan teknik cantuman diperkenalkan di Federal Experimental Station, Serdang di awal kurun yang ke dua puluhan

Beberapa klon Durian yang terpilih telah dapat dihasilkan. Antaranya klon D 2 ( Dato’ Nina ), Melaka 1934, D 10 ( Durian hijau ) Kajang 1934, D 24 Kuala Kangsar, 1937. Berbagai-bagai klon juga terdapat dan ditanam di Serdang bagi menentukan kualiti buah.

Masyarakat Melayu tidak begitu berminat menanam Durian cantuman ini dan lebih suka menanam pokok Getah, Koko dan Kelapa sawit. Bagaimanapun, sedikit sebanyak ada juga pokok Durian cantuman ini ditanam. Antara yang popular ialah D 24. Selain itu pekebun Cina pula menanam Klon pilihan sendiri seperti D 101 dan di Pulau Pinang terdapat berbagai-bagai klon terpilih yang dikawal oleh peladang-peladang Durian.

Bila sampai musim Durian, penggemar Durian biasanya akan membeli Durian ditepi jalan. Biasanya buah Durian ini dijual mengikut timbangan kilogram. Kerap kali pembeli tertipu. Durian kampung biasa dikatakan D 24, atau D 101. Ramai yang tidak kenal dengan Durian D 24 ini. Durian D 24 terlalu nadir dan tidak tulen lagi. Klon ini sudah berusia lebih 70 tahun.

Penggemar Durian biasanya akan berpaling kepada Durian yang di import dari Thailand. Rasanya tidak lah begitu enak kerana Durian ini ada hasil peraman.
Kita sungguh rasa kagum dengan industri Durian Thailand.

Bila saya balik kampung di musim Durian tidak lama dulu, alangkah enaknya buah Durian D 24 yang tulen, hasil benih yang di bawa dari Serdang. Tidak lama dulu saya pergi ke ladang FES ingin melihat klon-klon Durian tetapi sudah tidak ada lagi.

Monday, May 18, 2009

Penulis Tak Boleh Cari Makan Dengan Menulis










Di negara-negara maju, seseorang penulis boleh cari makan dengan hanya menulis. Ada penulis yang menjadi kaya raya dengan menulis buku. Di Malaysia penulis tak boleh cari makan dengan hanya menulis buku atau menulis secara kreatif. Oleh sebab itu, banyak lah diperkatakan tentang kita tidak mempunyai banyak buku dalam bahasa Melayu, jauh lagi mempunyai buku-buku dalam bahasa Melayu yang dianggap sebagai buku pengajian tinggi.

Dipersalahkan kononnya masyarakat Melayu tidak suka membaca. Ahli-ahli akademik di pusat-pusat pengajian tinggi dipersalahkan kononnya tidak mahu menulis. Ada sebab sebenarnya, bukanlah masyarakat Malaysia tak suka membaca atau ahli-ahli akademik tidak mahu menulis.

Saya telah menulis tiga buah buku. 1 Bunga-Bungaan Malaysia. 2 Palma Pilihan Untuk Seni Taman dan 3 Sayuran Tradisional, Ulam dan Penyedap Rasa. Saya amat seronok melihat hasil tulisan saya. Dan saya sudahpun menyiapkan buku" Dalam Dusun Malayu" dan sedang menulis" Elemen Tumbuhan Dalam Pantun".

Saya amat seronok melihat hasil tulisan saya, walau terpaksa membelanjakan dengan wang yang banyak. Royaltinya tak berbaloi pun dengan Komputer, printer, camera, dll. Tak pulang modalpun dengan royalti yang diberi oleh penerbit.

satu perkara yang saya amat terkilan. Mengapakah buku saya tidak terjual. Sebagai contoh: Buku " Sayuran Tradisional, Ulam dan Penyedap Rasa " di terbitkan dalam tahun 2000, sebanyak 1000 naskhah, berharga RM50.00, tidak terjual sehingga sekarang, hampir sembilan tanun. Ramai yang telah mempunyai buku ini.

Mungkinlah nasib penulis-penulis sama dengan penyanyi-penyanyi, nyanyian mereka diciplak. Hasil penulis lagi mudah diciplak, cetak saja lebih daripada yang ditentukkan dan dijual secara gelap.






Tuesday, May 5, 2009

Cerita Buah Manggis

Bunga Manggis biasa
Manggis biasa

Bunga Manggis Masta


Masta



Masta

Manggis
Garcinia mangostana L.
Nama Lain: Manggustan, Masta Mangosteen

Semasa balik ke kampungku di Malim Nawar, Perak pada musim buah-buahan yang dulu, alangkah sedihnya melihat beratus-ratus buah Manggis keras kematu di bawah bawah pokok dan tidak siapa yang hendak mengambil dan memakannya. Begitulah juga buah Rambutan merah dan menjadi hitam di pokok

“ Dema dah tak hendaklah lagi makan buah-buah ini, Mai’l oi. Anak aku yang balik dari Universiti tu, langsung tak jeling Manggis dan Rambutan tu” Kata sepupu aku yang dah gayut umurnya. “ Dema makan epol, aggor aje”Katanya lagi.

Teringgat masa aku kecil-kecil dulu. Buah Manggis dan Rambutan tu aku jual untuk duit poket pergi sekolah. Aku ikat manggis, 10 biji 30 sen dan Rambutan 100 biji 2 ringgit. Kini buah-buahan tempatan tidak diminati oleh generasi muda sekarang

Manggis dikatakan berasal dari Malaysia dan diketahui dalam bentuk pokok yang ditanam sahaja. Bagaimanapun ada catatan menyatakan spesimen liar pernah ditemui.

Ada juga catatan menyatakan Manggis berasal dari kepulauan Nikobar. Penduduk Nikobar memanggil Manggis sebagai Manggusta. Manggusta ada persamaan dengan Masta ( yang disingkatkan) bagi panggilan Manggis bagi orang Kelatan

Pokok Manggis mempunyai keunikannya tersendiri kerana ketiadaan fungsi bunga jantan. Dalam anthesis bunganya, telah ditentukan segmen buah yang berbiji. Biji-bijinya adalah apomiktik (apomictic ). Dengan hal yang demikian semua bijinya menurun baka


Buah Manggis berbentuk globos, licin, 4 – 6 cm diameter, berwarna putih kehijauan dan bertukar merah keunguan dan hitam keunguan apabila cukup masak. Lobus stigmanya tinggal kekal sehingga buahnya masak dan bilangan lobus stigma ini menandakan bilangan segmen ulas yang terdapat di dalam buah. Biasanya terdapat 5 – 7 ulas segmen yang berwarna putih, tersusun rapi dan mudah dipisahkan dengan kulitnya. Ulas-ulas berjus ini rasanya manis dan enak hingga dikatakan buah tropika yang tersangat enak dimakan. Satu atau dua ulas segmen ini mengandungi biji yang hampir bulat dan leper, berwarna keperangan. Semua bahagian pokok ini, terutama buahnya yang muda mengeluarkan getah berwarna kekuningan apabila terluka.


Terdapat varieti atau forma Manggis yang mempunyai pokok yang lebeh besar dan daunnya lebih lebar serta buahnya bentuk gasing. Kulit buahnya agak tebal dan isinya lebih manis. Varieti atau forma Manggis ini panggil Masta dan sering ditemui di pantai timur Semenanjung.

Penanaman Manggis di dusun-dusun zaman dahulu amat unik dan ada asas sains di sebaliknya. Memakan Manggis berasa amat puas jika biji terus ditelan. Biji yang keluar bersama najis amat baik percambahannya. Oleh sebab masyarakat dusun dizamannya tidak mempunyai tandas yang tetap, terdapatlah anak-anak pokok ini tumbuh di sana sini. Haiwan juga memakan Manggis. Biji-biji yang ditelan keluar bersama-sama najis dan juga cambah di sana sini.

Kini buah manggis amat popular di luar negara, bukan sahaja rasanya enak tetapi kulitnya dijadikan minuman dan mengandungi khasiat perubatan. Mulakan menanam Manggis yang akan menjadi tanaman yang menguntungkan dimasa akan datang








Tuesday, April 21, 2009

Pokok Taman Pantun Di tebang


Kandis
Garcinia cowa Roxb.
Famili: Guttiferae

Buah Kandis dimakan budak,
Hendak ditebang tiada beliung;
Hendak menangis bukannya budak,
Hendak terbang bukannya burung.

Buah Kandis dimakan budak,
Hendak ditebang tiada gergaji;
Menangis tidak ketawapun tidak
Bila tangan sudah digari
Peristiwa Yang Menyayat Hati


Pantun dianggap sebagai genre asli, unik dan merupakan khazanah dalam kehidupan masyarakat Melayu. Memandangkan kedudukan pantun yang begitu sinonim dengan pemikiran dan kebudayaan Melayu serta penuh dengan nilai-nilai estetika bahasa telah menarik ramai sarjana tempatan dan barat mengkaji dan meminati pantun.

Kajian yang banyak dibuat terhadap pantun berlegar tentang takrifan pantun, jenis, asal usul dan peranannya dalam masyarakat Melayu. Kajian dari aspek sains pula, terutama tentang flora dan fauna yang menjadi elemen dalam pantun, tidak banyak dilakukan.

Semasa berkhidmat di Universiti Kebangsaan Malaysia saya telah menubuhkan sebuah Taman Pantun, di Universiti tersebut. Konsep Taman Pantun ini merupakan pemuliharaan spesies tumbuh-tumbuhan yang sering disebut dalam pantun tradisional dan puisi. Tujuan Taman Pantun ini merupakan cara penyibaran hasil sastera yang ada kaitannya dengan sains, terutamanya tentang etnobotani Melayu.

Dalam sebuah Taman Pantun, sambil berjalan-jalan atau beriadhah, khalayak dan pelajar-pelajar boleh membaca pantun pada plak yang diletakkan pada tumbuhan yang dikenalpasti berkaitan dengan pantun. Dengan sendirinya khalayak dan pelajar-pelajar akan dapat memahami tentang kekayaan warisan sastera yang ada kaitannya dengan sains, seterusnya dapat memahami pemikiran, seni dan kebudayaan Melayu, sebagai lambang kebijaksanaan berfikir dan identiti kelompok-kelompok Melayu yang lahir sejak ratusan tahun yang lampau.

Terdapat kira-kira 250 spesies tumbuhan yang disebut dalam pantun, jampi serapah yang berupa pantun dan pribahasa. Kebanyak spesies pokok yang disebut dalam pantun ini tidak dapat dikenalpasti oleh generasi sekarang. Spesies yang disebut dalam pantun ini mungkin tidak dapat dikenalpasti oleh pemantun juga sarjana-sarjanan pantun. Pemantun mungkin tahu nama tumbuhan yang disebut dalam pantun sahaja tetapi tidak pernah melihat tumbuhan tersebut.

Kawasan seluas 16 ekar telah dibangunkan dan sebilingan besar spesies tumbuhan yang disebut dalam pantun tradisi ditanam. Penanamanya juga mengikut konsep semula jadi sehingga spesies tumbuhan hidup bersimbiosis antara satu dengan yang lain. Taman ini telah dilancarkan pada 17 September, 1990.

Alangkah sedih dan keciwanya saya apabila saya bersara pada 1997, Taman Pantun sudah tidak ada lagi. Sebilangan besar koleksi spesies yang ditanam sudah ditebang.

Lebih memilukan saya, amat sukar bagi saya mendokumentasikan spesies tumbuhan tersebut dalam penulisan saya iaitu buku Dalam Taman Pantun. Saya terpaksa mencari tumbuhan itu semula untuk dibukukan. Kini buku tersebut telahpun siap ditulis, malang sekali penerbit seperti DBP tidak berminat menerbitkannya.

Betullah kata pepatah Melayu:

Sekali air bah, sekali pantai berubah


Sunday, February 22, 2009

Bunga Kebangsaan Boleh Dijadikan Hiasan Laman yang Menarik












Hiasan seni taman atau laman di bandar-bandar raya banyak menggunakan annual yang diperkenalkan dari luar negara seperti Mari Gold ( Tagetes patula, T. erecta. ) Bayam bunga
(Celocia argentea)dll.Sayangnya bunga kebangsaan kita, iaitu Bunga raya (Hibiscus rosa-sinensis) tidak banyak ditanam sebagai hiasan seni taman atau laman, sehinggalah di tegur oleh YAB Perdana Menteri.Dengan sekelip mata sahaja pokok Bunga raya mula ditanam. Bagaimanapun, hiasan Bunga raya, Bunga Kebangsaan kita ini tidak lah begitu ketara, saolah-olah melepas batuk ditangga sahaja.


Bunga raya amat menarik jika dikawal pertumbuhannya. Ia boleh ditanam sebagai hiasan batasan, standard, pagar hias, tanaman pasu dsbnya. Dengan berbagai warna yang menarik, Bunga raya boleh menjadi kebanggaan kita.