er Researcher Institute of Malay World and Civilization UKMf

My photo
Bandar Baru Bangi, Selangor, Malaysia
An Agri/Horticulturist and Botanist,former researcher Institute of Malay World and Civilization National University Malaysia

Tuesday, November 17, 2009

Buah Setambun Merah Sudah Hampir Pupus












Seorang teman saya telah memberi saya gambar buah untuk dikenalpasti. Alangkah seronoknya saya, buah ini ia lah buah Setambun jantan atau Setambun merah atau lebih di kenali dengan nama saintifiknya Baccaurea parviflora yang tergulung dalam famili Euphorbiaceae. Buah ini termasuk dalam kumpulan buah Rambai atau Tampoi.

Keunikan pokok ini, ia mempunyai buahnya yang banyak sehingga ratusan pada tangkai tangkai yang panjang dan bertambun di pangkal pokok. Buahnya bujur runcing berwarna merah bertukar keunguan apabila masak. Buah ini berpangsa tiga mengandungi 1-3 biji yang selaputi oleh palpa dan rasanya agak masam.


Pada satu ketika dahulu pokok Setambun merah ini mudah di temui di dusun-dusun. Oleh sebab rasanya agak masam tetapi kayunya sangat cantik dan keras, pokok ini terus ditebang dan kayunya dijadi kraf yang sangat mahal harganya. Pokok ini terus ditebang sehingga sukar ditemu lagi. Kekayaan warisan negara kita tidak lagi dapat dipulihara.

Saturday, November 7, 2009

Cendawan Busut Sukar Ditemui Lagi




Bagi masyarakat desa, Cendawan busut amat digemari. Bila sampai sahaja musim hujan, ramai lah mencari Cendawan ini. Bagaimanapun, Candawan ini sukar ditemui lagi. Pepatah Melayu yang menyebut" Seperti Cendawan tumbuh selepas hujan.... " tak boleh dipakai lagi.

Cendawan busut ( Termitomyces albuminosa ) yang tumbuh di permukaan tanah dikaikan dengan anai-anai yang tergulus dalan genus Odontotermes. Anai-anai membuat sarang di dalam tanah dan "menanam" cendawan ini untuk membantu penghuraian bahan-bahan selulosa yang menjadi makanannya. Miselium Cendawan ini meliputi sekitar sarang anai-anai ini, seolah-olah seperti taman. Ada ketika, biasanya selepas musim hujan, jasat buah terjadi daripada miselium ini dan tumbuh hingga kepermukaan tanah. Jasat buah inilah yang merupakan Cendawan. Cendawan ini terdapat juga beberapa spesies, seperti Cendawan busut, Cendawan tali, Cendawan peha ayam dll. Semuanya amat enak dimakan.

Penggunaan terlalu banyak pestisid menyebabkan Anai-anai semakin pupus. itulah sebabnya Cendawan-cendawan ini sukar ditemui lagi.


Pertumbuhan Cendawan ini masih lagi tidak difahami dan penanamanya masih tidak dapat dilakukan lagi. Kita juga tidak ada pakar dalam bidang kaji Cendawan.




Sunday, November 1, 2009

Pisang Seribu,Pisang yang Unik Terdapat Di Malaysia




Malaysia merupakan pusat kepelbagaian Pisang. Leluhur Pisang terdapat di Malaysia, ia itu Pisang hutan ( Musa acuminata ). Melalui pemilihan baka, terdapat berbagai-bagai jenis Pisang. Seterus nenek moyang kita zaman dahulu suka belayar dan membawa Pisang-Pisang ini sekitar Indo-Malesia. Di sana terdapat pula Pisang batu atau Pisang benggala (Musa bulbisiana ). Kedua-kedua jenis Pisang ini berlaku kacukan dan seterusnya menghasilkan berbagai-bagai jenis Pisang seperti yang terdapat sekarang.

Antara jenis Pisang yang sangat unit ialah Pisang seribu atau Pisang belalai gajah ( Musa acuminata x bulbisiana (AAB Group) cv. Pisang seribu. Buahnya kecil. berjumlah ratusan bersesak-sesak pada tandan yang panjang sehingga sampai ke aras tanah. Rasa buah pisang ini agak manis dan kelat sedikit. Biasanya Pisang ini jarang dimakan segar tetapi dibuat kueh atau cucur.

Pisang seribu jarang-jarang ditemui lagi. Pisang ini kadang-kadang ditemui juga ditanam di sekitar rumah sebagai koleksi persendirian kerana keunikan buahnya.

Kita terlalu banyak mempunyai jenis-jenis Pisang sama ada yang boleh dimakan segar atau di masak. Saya masih ingat kata emak di musim Jepun dulu, ketiadaan beras, emak makan nasi berandau ( campur) pisang. Mujur lah pada zaman itu masih banyak pokok Pisang di kampung-kampung. Kalau sekarang tidak banyak lagi pokok Pisang ditanam di kampung-kampung. Dan banyak pula jenis-jenis Pisang yang telah pupus.

Wednesday, October 14, 2009

Buah Marang Asal Usul Bandar Marang Terengganu

Artocarpus odoratissimus
Famili: Moraceae
Nama Tempatan: Marang
Tarap
Pingan


Semasa saya melawat Taman Pertanian Tenom Sabah, saya telah ditunjukkan sebatang pokok yang lebat berbuah. Setelah melihat buahnya dan labelnya ditulis Artocarpus odoratissimus
jelaslah pokok ini yang saya cari selama ini. Orang Sabah memanggilnya Tarap dan Pingan. Orang Sulu pula memanggilnya Marang. Orang Basilan dan Mandanao pula memanggilnya Morang.

Di Terengganu terdapat sebuah bandar yang di Panggil Marang. Mungkinkah bandar ini dinamakan atau dikaitkan dengan pokok Marang. Sukarlah hendak membuktikannya, kerana pokok Marang mungkin tidak ada lagi di sekitar bandar tersebut dan pokok Marang pula bukanlah berasal dari Semenanjung. Pokok Marang berasal dari Borneo, kepulauan Sulu dan Mandanao. Pokoknya masih lagi terdapat tumbuh liar di hutan atau ditanam di kampung-kampung.
Masyarakat Melayu zaman dahulu amat terkenal sebagai ahli pelayaran. Mungkin ada di kalangan ahli pelayaran ini membawa balik buah-buahan, termasuklah buah Marang ke Terengganu. Buah Marang ini ditanam di sebuah penempatan dan kerana keunikan buah Marang, tempat itu terus di namakan Marang. Dalam hal ini banyak bukti yang boleh dipercayai. Banyak persamaan nama-nama buah-buahan antara Semenanjung Malaysia dan Filipina.

Pokok Marang merupakan pokok yang sederhana saiznya, mencapai ketinggian 20 meter dan berbanir sedikit. Buahnya sinkarpa, subglobos, 15 - 20 cm panjang, 10 - 13 cm lebar, kulitnya bak duri lembut tumbuh rapat-rapat, sepanjang 1 cm. Bijinya sub globos, 2 cm diameter dan dibaluti isi yang tebal berwarna keputihan, berjuz dan beraroma kuat. Rasanya manis.

Marang mudah dibiakan dengan cara menyemai biji benih. Marang merupakan buah nadir dan tidak dibudidayakan sebagai tanaman.

Ismail Saidin
Consultant Botanist & Malay World






Monday, October 12, 2009

Pokok Bangkong Sudah Pupus - Sukar Ditemu Lagi


Aku dilahirkan di sebuah kampung bernama Kampung Tanjung Bangkong, terletak di sebuah pekan kecil, Malim Nawar, Perak. Masa aku kecil-kecil dahulu aku bertanya emakku tentang nama kampung ku ini. Kata emak , kampung ini dinamakan Tanjong Bangkong, ialah kerana terdapat di hujung kampung ini sebatang pokok Bangkong yang cukup besar. Aku hanya dapat melihat tunggul pokok ini, memang saiznya cukup besar


Kebetulan berdekatan dengan rumahku terdapat sebatang pokok Bangkong, yang agak besar juga saiznya. Aku ingat tentang pokok Bangkong ini, kerana di zaman kanak-kanak, kami gemar memakan buahnya. Buahnya agak besar, tetapi isinya nipis dan rasanya agak manis juga apabila cukup masak. Yang paling seronok ialah memakan biji Bangkong. Bijinya agak besar dan kami kanak-kanak memungut biji-biji Bangkong ini dan direbus. Setelah masak dimakan dengan gula. Nostalgia ini masih terbayang dan rasa biji Bangkong rebus masih menjadi kenangan. Emak pula sering memasak lemak biji Bangkong ini dengan ikan puyu atau ikan lampam..oh sedapnya.
Kini pokok Bangkong di kampungku itu sudah tiada lagi.


Bila aku sudah menjadi seorang ahli kajitumbuhan ( Botanist) aku menanam sebatang pokok Bangkong di Taman Pantun UKM. Dapat juga aku melihat buahnya, tetapi tidak setanding dengan pokok Bangkong di kampungku dulu. Malang sekali, pokok Bangkong di Taman Pantun juga telah ditebang dan Taman Pantun tinggal nama sahaja.


Konon ceritanya pokok Bangkong ini ( Artocarpus integer var. silvestris Corner) ia lah varieti Cempedak. Tetapi Cempedak tidak terdapat tumbuh liar di hutan sedangkan Bangkong dahulunya biasa terdapat tumbuh liar di hutan. Saya rasa Cempedak berasal daripada Bangkong setelah dilakukan pemilihan baka dalam aktiviti berdusun oleh nenek mayang kita dahulu


Sebagai tanaman budaya Melayu, Bangkong disemadikan bagi nama tempat seperti, Tanjung Bangkong, Bukit Bangkong, dll, sedang Bangkong sudah pupus buat selama-lamanya



Wednesday, October 7, 2009

Buah Delima Tanaman Budaya Melayu








Delima
Punica granatum L
Famili: Punicaceae
Nama Lain Pomegranade ( Ing.)

Pokok Delima berasal dari Asia Selatan, terutamanya Iran, Afghanistan dan sekitar kawasan Himalaya. Pokok ini juga merupakan tanaman prasejarah dan tidak diketahui bila tanaman ini diperkenalkan ke Malaysia. Dipercayai orang-orang Parsi atau Hindu menyebarkan tanaman ini ke alam Melayu.

Pokok Delima merupakan tanaman sering dikaitkan dengan budaya Melayu. Delima juga sering disebut dalam hikayat-hikayat Melayu, seperti Sejarah Melayu, Bustanul salatin, atau Taman Segala Raja-Raja, Hikayat Hang Tuah dan tidak kurang juga dalam pantun-pantun tradisi Melayu. Contoh

Cemperai di pohon Delima,
Anak tupai berpuak-puak;
Bermisaiku sangka panglima,
Rupanya misai penapis tuak



Kini Pokok Delima jarang-jarang ditanam. Pada satu ketika dahulu pokok Delima sering ditanam di kampung-kampung, bukan sahaja kerana keindahan bunganya tetapi dikatakan sebagai tanaman ubat. Pokok Delima kadang-kadang berbuah dengan baik, terutama pokok yang ditanam di tanah tinggi berhawa dingin seperti di Cameron Highland, tetapi rasa buahnya tidak setanding dengan yang diimport. Ini mungkin kerana pokok yang ditanam bukan daripada varieti atau kultivar yang manis buahnya.

Pokok Delima merupakan pokok kecil atau syrab, berdahan banyak dan boleh mencapai ketinggian sehingga 5 meter jika tidak di cantas. Daunnya berhadapan, berbentuk oblong lanseolat, 50 – 20 cm panjang, 1.5 – 2.5 cm lebar berwarna hijau berkilat. Bunganya terminal dahan atau ranting, setiap sekuntum berukuran 4 – 5 cm diameter, berwarna merah dan stamennya banyak berwarna kekuningan. Buahnya globos, licin, berwarna kuning kemerahan dan kaliks yang kekal membentuk seperti jemala di hujung buah. Kaviti buah dipenuh oleh biji yang banyak dan biji-biji ini diselaputi oleh kulit nipis berwarna merah jambu yang mengandungi jus yang jernih. Buah ini dimakan segar atau diperah untuk dijadikan minuman segar.

Masyarakat desa mengenali pokok Delima sebagai tanaman ubat. Kulit batang dan akarnya sebagai mencegah cacing. ( anthelminthic ). Kulit buah dan jusnya dibuat bahan kumuran bagi melawaskan demam. Kulit batang, buah dan daunnya juga dikatakan dapat mengubati cirit birit. Penumuan yang baru jus buah Delima antara ramuan dalam transfer factor bagi sistem imun yang sangat popular.


Pokok Delima mudah dibiakkan dengan semaian biji benih, keratan atau tut. Pokok Delima mudah hidupnya tetapi memerlukan tanah yang subur dan bersaliran baik. Cantasan perlu dilakukan bagi mengekal bentuk pokok. Pokok Delima boleh juga ditanam dalam pasu besar sebagai pokok hiasan yang menarik. Delima mempunyai potensi yang baik sebagai pokok buahan tetapi kurang diberi perhatian untuk memajukan tanaman ini.



Monday, October 5, 2009

Pokok Pudu Sukar Di Temui Lagi

Buah Pudu




Seorang kenalan saya telah memberi saya buah sebesar ibu jari dan rupanya seakan-akan mini Nangka. Saya pereksa dengan teliti......Buah yang diberi kepada saya itu ialah buah Pudu atau di kenali juga dengan panggilan Cempedak air (Artocarpus kemando). Kenalan saya itu membawa buah Pudu ini dari
Sarawak.
Satu ketika dahulu, di Semenanjung Malaysia terdapat banyak pokok Pudu sehingga sebuah bandar kecil di beri nama Pudu, yang kini terletak di Bandar Raya Kuala Lumpur. Oleh sebab kayu pokok Pudu ini keras dan cantik, banyak telah ditebang dan hampir pupus.
Rasa buah Pudu manis, sama rasanya dengan Cempedak tetapi terlalu kecil dan biasa dibuat goreng dengan tepung rasanya tersangat enak.
Buah Pudu ialah tanaman budaya kita, kini semakin Pupus dan banyak lagi akan hilang dan pupus buat selama-lamanya