er Researcher Institute of Malay World and Civilization UKMf

My photo
Bandar Baru Bangi, Selangor, Malaysia
An Agri/Horticulturist and Botanist,former researcher Institute of Malay World and Civilization National University Malaysia

Wednesday, October 14, 2009

Buah Marang Asal Usul Bandar Marang Terengganu

Artocarpus odoratissimus
Famili: Moraceae
Nama Tempatan: Marang
Tarap
Pingan


Semasa saya melawat Taman Pertanian Tenom Sabah, saya telah ditunjukkan sebatang pokok yang lebat berbuah. Setelah melihat buahnya dan labelnya ditulis Artocarpus odoratissimus
jelaslah pokok ini yang saya cari selama ini. Orang Sabah memanggilnya Tarap dan Pingan. Orang Sulu pula memanggilnya Marang. Orang Basilan dan Mandanao pula memanggilnya Morang.

Di Terengganu terdapat sebuah bandar yang di Panggil Marang. Mungkinkah bandar ini dinamakan atau dikaitkan dengan pokok Marang. Sukarlah hendak membuktikannya, kerana pokok Marang mungkin tidak ada lagi di sekitar bandar tersebut dan pokok Marang pula bukanlah berasal dari Semenanjung. Pokok Marang berasal dari Borneo, kepulauan Sulu dan Mandanao. Pokoknya masih lagi terdapat tumbuh liar di hutan atau ditanam di kampung-kampung.
Masyarakat Melayu zaman dahulu amat terkenal sebagai ahli pelayaran. Mungkin ada di kalangan ahli pelayaran ini membawa balik buah-buahan, termasuklah buah Marang ke Terengganu. Buah Marang ini ditanam di sebuah penempatan dan kerana keunikan buah Marang, tempat itu terus di namakan Marang. Dalam hal ini banyak bukti yang boleh dipercayai. Banyak persamaan nama-nama buah-buahan antara Semenanjung Malaysia dan Filipina.

Pokok Marang merupakan pokok yang sederhana saiznya, mencapai ketinggian 20 meter dan berbanir sedikit. Buahnya sinkarpa, subglobos, 15 - 20 cm panjang, 10 - 13 cm lebar, kulitnya bak duri lembut tumbuh rapat-rapat, sepanjang 1 cm. Bijinya sub globos, 2 cm diameter dan dibaluti isi yang tebal berwarna keputihan, berjuz dan beraroma kuat. Rasanya manis.

Marang mudah dibiakan dengan cara menyemai biji benih. Marang merupakan buah nadir dan tidak dibudidayakan sebagai tanaman.

Ismail Saidin
Consultant Botanist & Malay World






Monday, October 12, 2009

Pokok Bangkong Sudah Pupus - Sukar Ditemu Lagi


Aku dilahirkan di sebuah kampung bernama Kampung Tanjung Bangkong, terletak di sebuah pekan kecil, Malim Nawar, Perak. Masa aku kecil-kecil dahulu aku bertanya emakku tentang nama kampung ku ini. Kata emak , kampung ini dinamakan Tanjong Bangkong, ialah kerana terdapat di hujung kampung ini sebatang pokok Bangkong yang cukup besar. Aku hanya dapat melihat tunggul pokok ini, memang saiznya cukup besar


Kebetulan berdekatan dengan rumahku terdapat sebatang pokok Bangkong, yang agak besar juga saiznya. Aku ingat tentang pokok Bangkong ini, kerana di zaman kanak-kanak, kami gemar memakan buahnya. Buahnya agak besar, tetapi isinya nipis dan rasanya agak manis juga apabila cukup masak. Yang paling seronok ialah memakan biji Bangkong. Bijinya agak besar dan kami kanak-kanak memungut biji-biji Bangkong ini dan direbus. Setelah masak dimakan dengan gula. Nostalgia ini masih terbayang dan rasa biji Bangkong rebus masih menjadi kenangan. Emak pula sering memasak lemak biji Bangkong ini dengan ikan puyu atau ikan lampam..oh sedapnya.
Kini pokok Bangkong di kampungku itu sudah tiada lagi.


Bila aku sudah menjadi seorang ahli kajitumbuhan ( Botanist) aku menanam sebatang pokok Bangkong di Taman Pantun UKM. Dapat juga aku melihat buahnya, tetapi tidak setanding dengan pokok Bangkong di kampungku dulu. Malang sekali, pokok Bangkong di Taman Pantun juga telah ditebang dan Taman Pantun tinggal nama sahaja.


Konon ceritanya pokok Bangkong ini ( Artocarpus integer var. silvestris Corner) ia lah varieti Cempedak. Tetapi Cempedak tidak terdapat tumbuh liar di hutan sedangkan Bangkong dahulunya biasa terdapat tumbuh liar di hutan. Saya rasa Cempedak berasal daripada Bangkong setelah dilakukan pemilihan baka dalam aktiviti berdusun oleh nenek mayang kita dahulu


Sebagai tanaman budaya Melayu, Bangkong disemadikan bagi nama tempat seperti, Tanjung Bangkong, Bukit Bangkong, dll, sedang Bangkong sudah pupus buat selama-lamanya



Wednesday, October 7, 2009

Buah Delima Tanaman Budaya Melayu








Delima
Punica granatum L
Famili: Punicaceae
Nama Lain Pomegranade ( Ing.)

Pokok Delima berasal dari Asia Selatan, terutamanya Iran, Afghanistan dan sekitar kawasan Himalaya. Pokok ini juga merupakan tanaman prasejarah dan tidak diketahui bila tanaman ini diperkenalkan ke Malaysia. Dipercayai orang-orang Parsi atau Hindu menyebarkan tanaman ini ke alam Melayu.

Pokok Delima merupakan tanaman sering dikaitkan dengan budaya Melayu. Delima juga sering disebut dalam hikayat-hikayat Melayu, seperti Sejarah Melayu, Bustanul salatin, atau Taman Segala Raja-Raja, Hikayat Hang Tuah dan tidak kurang juga dalam pantun-pantun tradisi Melayu. Contoh

Cemperai di pohon Delima,
Anak tupai berpuak-puak;
Bermisaiku sangka panglima,
Rupanya misai penapis tuak



Kini Pokok Delima jarang-jarang ditanam. Pada satu ketika dahulu pokok Delima sering ditanam di kampung-kampung, bukan sahaja kerana keindahan bunganya tetapi dikatakan sebagai tanaman ubat. Pokok Delima kadang-kadang berbuah dengan baik, terutama pokok yang ditanam di tanah tinggi berhawa dingin seperti di Cameron Highland, tetapi rasa buahnya tidak setanding dengan yang diimport. Ini mungkin kerana pokok yang ditanam bukan daripada varieti atau kultivar yang manis buahnya.

Pokok Delima merupakan pokok kecil atau syrab, berdahan banyak dan boleh mencapai ketinggian sehingga 5 meter jika tidak di cantas. Daunnya berhadapan, berbentuk oblong lanseolat, 50 – 20 cm panjang, 1.5 – 2.5 cm lebar berwarna hijau berkilat. Bunganya terminal dahan atau ranting, setiap sekuntum berukuran 4 – 5 cm diameter, berwarna merah dan stamennya banyak berwarna kekuningan. Buahnya globos, licin, berwarna kuning kemerahan dan kaliks yang kekal membentuk seperti jemala di hujung buah. Kaviti buah dipenuh oleh biji yang banyak dan biji-biji ini diselaputi oleh kulit nipis berwarna merah jambu yang mengandungi jus yang jernih. Buah ini dimakan segar atau diperah untuk dijadikan minuman segar.

Masyarakat desa mengenali pokok Delima sebagai tanaman ubat. Kulit batang dan akarnya sebagai mencegah cacing. ( anthelminthic ). Kulit buah dan jusnya dibuat bahan kumuran bagi melawaskan demam. Kulit batang, buah dan daunnya juga dikatakan dapat mengubati cirit birit. Penumuan yang baru jus buah Delima antara ramuan dalam transfer factor bagi sistem imun yang sangat popular.


Pokok Delima mudah dibiakkan dengan semaian biji benih, keratan atau tut. Pokok Delima mudah hidupnya tetapi memerlukan tanah yang subur dan bersaliran baik. Cantasan perlu dilakukan bagi mengekal bentuk pokok. Pokok Delima boleh juga ditanam dalam pasu besar sebagai pokok hiasan yang menarik. Delima mempunyai potensi yang baik sebagai pokok buahan tetapi kurang diberi perhatian untuk memajukan tanaman ini.



Monday, October 5, 2009

Pokok Pudu Sukar Di Temui Lagi

Buah Pudu




Seorang kenalan saya telah memberi saya buah sebesar ibu jari dan rupanya seakan-akan mini Nangka. Saya pereksa dengan teliti......Buah yang diberi kepada saya itu ialah buah Pudu atau di kenali juga dengan panggilan Cempedak air (Artocarpus kemando). Kenalan saya itu membawa buah Pudu ini dari
Sarawak.
Satu ketika dahulu, di Semenanjung Malaysia terdapat banyak pokok Pudu sehingga sebuah bandar kecil di beri nama Pudu, yang kini terletak di Bandar Raya Kuala Lumpur. Oleh sebab kayu pokok Pudu ini keras dan cantik, banyak telah ditebang dan hampir pupus.
Rasa buah Pudu manis, sama rasanya dengan Cempedak tetapi terlalu kecil dan biasa dibuat goreng dengan tepung rasanya tersangat enak.
Buah Pudu ialah tanaman budaya kita, kini semakin Pupus dan banyak lagi akan hilang dan pupus buat selama-lamanya

Tuesday, September 22, 2009

Apa Nama Pokok Ini


Ridley bersama Ahmat Hassan

Mohamed Hanif






Burkill

















Tahukah anda tumbuh-tumbuhan atau pokok-pokok asli Malaysia mempunyai nama Melayunya. Kadang-kadang pokok yang diperkenalkan dari luar negara juga mempunyai namanya dalam bahasa Melayu. Nama-nama pokok ini diberi oleh nenek moyang kita zaman dahulu.

Nama-nama pokok ini banyak yang diabadikan kepada nama negeri, bandar, kampung, bukit, sungai dan boleh dikata sebilangan besar nama-nama tempat adalah asal usalnya nama pokok. Dalam jampi serapah, pantun dan puisi banyak menyebut nama-nama pokok.

Sayangnya jenerasi sekarang ini tidak lagi dapat mengenali pokok-pokok atau mengetahui nama-nama pokok yang merupakan warisan kita.

Kita berasa amat berterima kasih kepada beberapa ahli sains Inggeris yang mengumpulkan nama-nama pokok dan seterusnya menyimpan rekod nama-nama pokok dalam bahasa Melayu dan nama sainsnya.

Pengumpulan nama pokok ini tentulah datangnya dari orang Melayu atau nenek moyang kita dahulu. Orang-orang Inggeris, sebagai Tuan, mencatatkan sahaja.

Henry Nicholas Ridley, Pengarah Taman Botani Singapura ( 1888 – 1912,) dan lebih dikenali sebagai orang yang membangunkan industri getah. Beliau banyak merekodkan nama-nama pokok bahasa Melayu, seperti dalam Flora of the Malay Peninsula Vol. I –V 1922-25.

Sebenarnya Ridley banyak dibantu oleh orang Melayu dalam pengenalpastian tumbuh-tumbuhan. Antaranya yang banyak membantu Ridley ialah Ahmad bin Hassan.( Lihat gambar)

Isaac Henry Burkill Pengarah Taman Botani Singapura ( 1912 – 1925 ) menyambung kerja-kerja Ridley. Beliau telah menghasilkan The Dictionary of the Economic Products of the Malay Peninsula (1935). Buku ini sebagai Monumental Dictionary yang tiada tandingnya hingga sekarang

Burkill juga banyak dibantu oleh orang-orang tempatan. Antaranya ialah Mohamed Hanif ( 1872 – 1930). Mohamed Hanif antara 1890 – 1926 banyak mengumpul spesimen untuk herbarium dan dikagumi oleh Burkill. Burkill dan Mohamed Hanif ( 1930 ) menerbitkan Malay Village Medicine. Buku ini menjadi panduan tentang spesies pokok dalam perubatan tradisional Melayu, lengkap dengan nama Melayu dan nama saintifiknya.

Orang seperti Ahmad bin Hassan dan Mohamed Hanif yang diketahui banyak berjasa dalam bidang kajian tumbuh-tumbuhan tidak mendapat tempat sebagai ahli budaya, berbanding dengan ahli kesusasteraan dan penyanyi. Saya teringat lagi seorang kenalan saya Encik Kassim bin Rejab seorang pembantu Herbarium di UKM, amat terkenal dengan koleksi spesimennya sehingga pelawat-pelawat botanists dari Taman-taman Botani luar negara sering mencarinya di Herbarium UKM untuk pengenalpastian specimen herbarium. Pak Kassim, nama yang sering dipanggil kini sudah tiada lagi. Ada cadangan untuk menamakan Herbarium UKM atas namanya, tidak kesampaian
( Lawak Cari Nama Pokok)

Semasa mencari spesimen, seorang Penjajah Inggeris membawa seorang pembantu Melayu. Sudah penat berjalan dalam hutan tebal, pegawai Inggeris bertanya:

“ Mat, apa nama ini pokok ?” sambil menunjuk kepada sebatang pokok yang berdaun lebar.

Mat yang sudah terlalu letih, menjawab sambil lewa dan sinis; “Itu pokok Mak hang” secara loghat Penang.

Penjajah Inggeris itu terus mencatatkan nama pokok itu, “pokok Mahang” dan nama saintifiknya Macaranga. Dia kemudiannya terus bertanya.

“Ini negeri apa nama, Mat?”

“ Ini negeri Pa’ hang” Jawab Mat

“Oh…Ohh Pahang.”

Sunday, September 6, 2009

Menembak Gagak Sudah Jadi Aktiviti Sukan

Lama juga saya membuat pemerhatian terhadap gagak. Ini adalah disebabkan gagak sering ditembak dan sudah menjadi bentuk rekreasi, kononnya gagak membawa masalah di bandar-bandar dan bandar-bandar raya.

Di Malaysia terdapat dua spesies gagak ia itu Corvus macrorhynchos dan Corvus enca. Masyakat Melayu memanggil kedua-kedua spesies gagak ini Gagak benua. Biasanya gagak ini berpasangan, dahulunya, mudah ditemui di tepi hutan dan kampung

Masyarakat Melayu zaman mempunyai kepercayaan terhadap gagak. Bila gagak ini berbunyi, bunyinya seakan " gerak, gerak, gerak". Burung gagak ini seolah-olah memberi tahu akan berlaku sesuatu musibah di kampung tersebut, seperti kematian, kemalangan dll. Kononnya nama gagak itu juga berasal daripada perkataan" gerak-gerak"

Spesies gagak yang lain ialah Corvus splendens. Saya panggil gagak ini gagak pekan. Gagak ini telah diperkenalkan dari Sri Lanka dalam tahun 1903 untuk mengawal sejenis ulat yang banyak merosakkan buah kopi di sekitar Kelang. Bagaimana kawalan biologi ini tidak berjaya dan gagak ini tidak suka tinggal di ulu, tetapi lebih suka tinggal di bandar Kelang kerana terdapat banyak makanan dan bebas dari burung-burung pemangsa. Dan pada satu ketika dahulu bandar Kelang agak sinonim dengan burung gagak.

Saya perhatikan gagak pekan ini tidak berani mendekati hutan dan belukar. Ini ada disebabkan di hutan dan belukar terdapat pokok-pokok dan syrub yang mempunyai nektar bunga dan buah yang digemari oleh burung-burung pemangsa

Antara burung-burung pemangsa yang ganas ialah Helang jambul ( Spilornis cheela), Helang sewah ( Accipitter gularis) Falko Rajawali (Microhierax fringillarius) Terjup Rimau ( Lanius tigris) Terjup Tanah ( Lanius cristatus)dll. Burung-burung pemangsa ini gemar memakan telur dan anak-anak burung lain termasuk telur burung dan anak burung Gagak. Saya pernah melihat ratusan burung Perling mata merah (Aplonis panayensis ) mengejar sekelompok burung gagak yang berehat di atas pokok Jejawi ( Ficus macrocarpa) semata-mata hendak memakan buah ara tersebut

Sekarang berulah kita ketahui mengapa burung Gagak ini gemar tinggal di bandar-bandar dan taman-taman. Ini adalah disebabkan pokok yang ditanam di bandar-bandar dan taman-taman adalah pokok yang diimport dan tidak mempunyai buah dan nektar bunga yang boleh menarik burung burung termasuk burung pemangsa di atas. Dengan hal yang demikian bandar dan taman adalah habitat yang baik untuk burung Gagak. Selain ketiadaan burung pemangsa Burung Gagak tidak memakan buah atau nektar tetapi gemar memakan bangkai dan kekotoran yang banyak terdapat di bandar-bandar.

Semasa menyediakan rekabentuk seni taman UKM, saya telah menanam berbagai-bagai spesies pokok tempatan yang mempunyai buah yang digemari oleh burung-burung. Apa bila pokok ini sudah matang dan saya dapati ada kira-kira 75 spesies burung menjadikan kampus tempat kediaman mereka. Yang paling ajaibnya tidak seekorpun burung Gagak terdapat di kampus UKM. Tetapi diseberang Sg Langat, Bandar Baru Bangi terdapat beribu-beribu burung gagak.Burung-burung Gagak ini pula sudah mula berhijrah ke Putrajaya.

Di UKM pula pokok yang ditanam dahulu sudah mula ditebang dan digantikan dengan tanaman yang diimport. Mungkin juga burung-burung gagak sedang memerhatikan, kalau kalau ada peluang untuk berhijrah ke kampus ini, seperti juga dengan kampus UM dan Putrajaya.

Bagi aktiviti sukan menembak Gagak, ini lah peluang yang baik menambah aktiviti sukan ini, semakin banyak distinasi dan populasi burung Gagak

Tuesday, September 1, 2009

CERITA DULU-DULU: BELAJAR DI JERMAN

Saya yang masih muda, menghadiri Seminar.





Semasa menghadiri seminar dengan beberapa pegawai pertanian
dari beberapa negara.



Saya dapat peluang belajar di Jerman di bawah Yayasan Jerman. Saya benar-benar ingin menjadi specialist dalam bidang botany, apatah lagi pada ketika itu UM hendak menubuhkan sebuah Taman Botani, sekarang ini dipanggil Rimba Ilmu. Ini cerita hampir setengah abad yang lalu.
Sebelum memulakan pengajian, saya perlu belajar Bahasa Jerman. Selama empat bulan belajar bahasa Jerman di Goethe Institute Ebersberg, Deutchland. Selepas empat bulam saya lulus ujian bahasa membolehkan saya mengikuti syarahan.
Saya dihantar ke TH Darmstadt. Selepas beberapa hari, saya dapati terlalu rendah dan saya pula menjadi pengajar. Saya di hantar ke Justus Liebig Universitaet, Giessen, ia itu universiti pertanian yang tertua di Jerman dan berkerja sama dengan Haus der Landwirchaft, Darmstard
dalam bidang Nutrien tanaman dan Baja, Kawalan keselamatan tanaman, pestisid dan residue pestisid; Penubuhan dan pengurusan Taman Botani.
Dalam tempoh dua tahun setengah, saya mengikuti berbagai-bagai latihan praktikel. Di Haus der Landwirtchaft saya dapat mengunakan peralatan makmal lengkap. Satu yang sangat menarik saya, pengajar-pengajar kebanyakkan terdiri daripada pakar-pakar pesara. Saya teringat lagi Herr Knouber, pakar dalam analisis Plant Nutrients. Dia boleh menganggarkan dengan tepat kandungan Nitrogen dan nutrien lain dalam tanah sebelum membuat analisis di makmal.
Di musim panas saya juga perlu berada di ladang-ladang. Peladang atau petani Jerman kaya raya. Tidak saperti kita di Malaysia. Bila disebut petani, peladang, penoreh getah, tukang kebun terbayang wajah kemiskinan. Saya juga dapat melawat kilang baja, seperti Kilang BASF, Bayer dll, bersama-sama dengan pegawai pertanian Jerman dari Haus der Landwirtchaft. Pegawai-pegawai pertanian Jerman amat berkuasa dan sentiasa sahaja memereksa kimia pertanian di bawah Undah-Undang Baja. Jika didapati kandungan nutrien dalam baja tidak betul, semua consignment baja itu tidak diluluskan.
Akhirnya, selepas dua tahun setengah, kursus saya berakhir. Saya ditawarkan untuk menerus pengajian saya, tetapi kontrak saya dengan UM tidak membenarkan. Saya kembali ke tanah air dan terus memulakan projek Taman Botani UM. Setelah Taman Botani ( Rimba Ilmu ) terbentuk, saya tidak berjaya dalam perlantikan sebagai Kurator, tetapi telah diberi kepada orang lain. Saya begitu sedih dan tidak lama kemudian saya meninggalkan UM. ke UKM. Rimba Ilmu ialah projek saya.