er Researcher Institute of Malay World and Civilization UKMf

My photo
Bandar Baru Bangi, Selangor, Malaysia
An Agri/Horticulturist and Botanist,former researcher Institute of Malay World and Civilization National University Malaysia

Tuesday, January 14, 2020

GILA GILA TANAM DURIAN


       Sejak kebelakangan ini, ramai yang berminat untuk menanam Durian. Timbul pasaran Durian kerana orang China dari negara China sangat gemar makan Durian. Harga Durian melambung tinggi, hingga orang biasa di Malaysia tak mampu nak beli.  Harga Durian klon Musang king  mencapai RM 40 hingga RM 70 sekilo. Penanam penanam Durian ini yang terdiri daripada orang Cina berharap, akan dapat Durian ini di eksport ke negara China.
       Di Kampung kampung Melayu, masih terdapat pokok Durian yang kebanyakan terdiri daripada berbagai-bagai jenis, yang biasanya disebut Durian kampung.  Durian durian ini mempunyai berbagai-bagai rasa dan menjadi kegemaran orang kampung.
       Terdapat juga pekebun pekebun menanam klon Durian terpilih, seperti D2, D 24, D 99 yang mendapat pasaran terbaik. Ini menjadi rezeki pekebun pekebun yang mempunyai dusun atau menanam sebatang dua persekitaran rumah di kampung.
        Kita amat berterima kasih kepada  saintis pertanian British yang memajukan klon klon Durian sebelum perang dahulu. Hingga hari tidak ada lagi klon-klon baru, kecuali beberapa klon terdapat dikebun-kebun Durian Cina di Pualau Pinang yang dikawal baik.
        Sampainya musim Durian, pekebun pekebun Durian dapat juga rezeki menjual Durian. Bagaimanapun sejak kebelakangan ini Durian Durian banyak dirosak oleh musuh tanaman seperti tupai dan monyet yang sukar dikawal.
        Pekebun-pekebun Durian yang saya temui mengeluh tentang kerosakan yang dilakukan oleh tupai dan monyet.  Cara yang baik katanya hanya  dengan menembak dan mengurakan bilangan tupai. Dulu katanya orang kampung ada juga senapang. Sekarang banyak senapang ditarik balik kerana pemilik sudah tua.  Masalah perosak tanaman buah Durian dapat diselesaikan hanya dengan senapang. Orang kampung manaboleh dapat lesen senapang.  Rasanya pihak Perhilitan boleh mengatasi masalah ini jika dapat dipanggil untuk menembak tupai bila sampai musim Durian













Durian yang dirosakan oleh tupai








Monday, March 23, 2015

BUKU BUNGA-BUNGAAN MALAYSIA DAN DALAM DUSUN MELAYU DIROMPAK

Dalam bulan Oktober, 2008 saya telah menghantar dua manuskrip, iaitu Bunga-Bungaan Malaysia Edisi ke 3 dan Dalam Dusun Melayu ke Dewan Bahasa dan Pustaka. Setelah menunggu hampir 6 tahun dan  pada bulan November 2013 barulah buku saya dapat di terbitkan.  Itupun  setelah menulis dan meminta jasa baik Timbalan Perdana Menteri untuk menerbit buku saya itu..

        1 Buku  Bunga-Bungaan Malaysia edisi 3     3000 naskhah @ RM 140.00
        2  Dalam Dusun Melayu                                 3000       "      @  RM 50.00
       
         Royalti penulis sebanyak 12%





Baru-baru ini saya bertanya tentang royalti saya. Malangnya saya diberi tahu tidak ada laporan tentang jualan buku saya. Alang terkejutnya saya seorang kenalan DBP memberi tahu saya bahawa banyak buku-buku dibawa lari oleh syarikat konsesi DBP setelah kontraknya ditamatkan pada 31 Ogos 2014. Berapa banyakkah buku-buku yang dibawa lari oleh syarikat berkenaan tidak diketahwi

Penulis dan pengarang buku-buku yang diterbitkan oleh DBP kini agak dalam dilemma kerana pembayaran royalti belum dapat ditentukan lagi. Dasar pembaran royalti DBP  adalah mengikut jualan buku. Malangnya kini buku-buku sudah tidak ada lagi.

DBP juga  agak dalam dilemma kerana perlu menerbit semula buku-buku yang dibawa lari. Tapi ini melibatkan perbelanjaan berjuta-juta ringgit.

Sekarang ini kita mula faham,  mengapakan tidak ramai penulis buku dan mengapakah industri buku negara tidak setanding dengan negara lain. Penulis penulis sentiasa mengharapkan belas kesian daripada Penerbit ( Writers are at the mercy of the Publishers) Penerbit sentiasa sahaja bersekongkol dengan pencetak untuk mencetak lebih neskhah dan dijual dalam pasaran gelap..

                          




Saturday, August 9, 2014

BUNGA PUTERI ( Grammatophyllum speciosum ) BERBUNGA MENJELANG MUSIM PANAS.

Bunga puteri atau Bunga bidadari, dikenali juga dengan nama scientificnya Grammatophyllum speciosum, ialah spesies orkid yang terbesar di dunia. Orkid ini terdapat hidup di Thailand, Malaysia, Borneo hingga ke Indonesia. Biasanya, orkid ini hidup liar di atas pokok pokok yang tinggi dan biasanya berbunga dalam bulan ogos dan September.

Masyarakat Melayu zaman dahulu amat gerun terhadap bunga orkit ini yang tersangat cantik dan dikaitkan bunga orkid ini dengan penunggu pokok dan bunga ini dikaitkan kepunyaan tuan puteri atau bidadari-bidadarinya. Mereka tidak berani mengambil atau merosakkan bunga orkid ini, seterus memanggil bunga orkid ini Bunga puteri atau Bunga bidadari. Kedatangan ahli kajitumbuhan Inggeris telah mengambil bunga orkid ini dan Blume telah menamakan orkid Grammatophyllum speciosum sebagai nama botaninya. Orkid ini tersebar luas dan antara orkid yang termahal di dunia.


Saya pernah menanam orkid ini di UM dahulu dan orkid ini berbunga lebat sehingga mempunyai 7 batang tangkai bunganya. Tiga tahu dahulu saya telah menanam orkit ini di atas pokok besar di rumah saya. Bulan Julai yang lalu perdu pertama mengeluarkan satu batang tangkai bunga sahaja dan perdu kedua mengeluarkan dua batang tangkai bunga sahaja.

Menjelang bulan Ogos dan September, panas yang terik sekarang ini menyebabkan Bunga Puteri ini berbunga. Saya berkunjung ke rumah kenalan saya. Saya dapati Bunga puterinya yang ditanam dalam pasu berbunga lebat dan mempunyai 9 batang tangkai bunga serta bunganya kembang dengan warna yang sangat menarik.


Sayang sekali Bunga puteri atau Bunga Bidadari ini tidak ditanam ditaman-taman awam. Sepatutnya banyak ditanam sebagai bunga Warisan Negara


Saturday, November 23, 2013

PENERBITAN BUKU DALAM BIDANG HORTIKULTUR DAN BOTANI

Sejak tahun 1977 saya telah menghasil empat tajuk karya dalam bidang Hortikultur and Botani. Buku saya yang pertama BUNGA-BUNGAAN MALAYSIA telah diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1977. Diikuti dengan Edisi Kedua tahun 2000 dan Edisi ketiga tahun 2013. Edisi ketiga Buku BUNGA-BUNGAAN MALAYSIA dipenuhi dengan gambar-gambar warna selain lukisan saintifik botani.

                                   
















Buku saya yang kedua PALMA PILIHAN UNTUK SENI TAMAN diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka tahun 1997 cetakan pertama dan cetakan kedua 2003.Malaysia merupakan negara palma dan kedua terbanyaknya spesies palma. Malang sekali banyak spesies palma kita telah pupus atau terancam kepupusan.


















Buku saya ketiga SAYURAN TRADISIONAL, ULAM DAN PENYEDAP RASA diterbitkan oleh Penerbitan Universiti Kebangsaan Malaysia tahun 2000.  Buku ini merupakan kumpulan sayur-sayur kampung dan ditanam dalam bentuk parak. Sekarang banyak disebut tanaman organik.











Buku saya yang keempat DALAM DUSUN MELAYU diterbitkan Dewan Bahasa dan Pustaka tahun 2013. Buku ini merupakan etnobotani tentang ruang perkebunan Melayu dan terdapat kepelbagaian spesies buah-buahan nadir yang jarang ditemui lagi.














Saya kira buku ini merupa karya saya terakhir  dan mungkin tidak lagi berminat untuk menulis dalam bahasa Melayu. Rupa rupanya buku-buku seperti ini tidak mendapat tempat dikalangan khalayak. Bayangkan Buku BUNGA-BUNGAAN MELAYSIA Edisi ke tiga dan DALAM DUSUN MELAYU mengambil 6 tahun untuk DBP menerbitkannya. Royaltinya tak berbaloi untuk harga sebuah komputer dan kertas. Nasib penulis sains dalam bahasa Melayu  tidak mendapat penghargaan di kalangan khalayak Melayu





Saturday, September 21, 2013

BUKU TERBITAN TERBARU: DALAM DUSUN MELAYU DAN BUNGA-BUNGAAN MELAYSIA EDISI KE 3





Buku saya yang baru, Dalam Dusun Melayu ( In the Malay village Orchards ) dan Bunga-Bungaan Malaysia-Edisi ke 3 telahpun diterbit oleh Dewan Bahasa dan Pustaka setelah bersabar menunggu hampir 6 tahun. Walau apa pun saya amat berterima kasih kepada DBP dapat menerbitkan buku saya.

Buku Dalam Dusun Melayu merupakan koleksi buah-buahan yang terdiri daripada buah-buahan tempatan yang nadir dan spesies yang telah lama diperkenalkan ke Alam Melayu dan dikenali oleh nenek moyang kita zaman dahulu. Buah-buahan ini ditanam mengikut teknik perkebunan Melayu dan pokok-pokok buah-buahan hidup bersimbiosis antara satu dengan yang lain. Sayang nya jenerasi muda sekarang ini tidak dapat lagi mengecam buah-buahan ini jauh lagi menghayatinya sebagai warisan negara. 

Buku ini dijual dengan harga yang sangat murah, hanya RM50.00 sahaja

Buku Bunga-Bungaan Malaysia Edisi ke 3. telah juga diterbitkan oleh DBP. Buku ini merupakan penerbitan semula, tetapi edisi ke 3 ini ditambah dengan berbagai-bagai spesies lagi serta dengan gambar warna tiap-tiap spesies. Buku ini amat menarik sebagai Coffee Table dan harganya RM140.00

Peminat alam bunga-bungaan buku ini amat baik untuk jadi dijadikan rujukan

Ismail Saidin

Monday, September 2, 2013

BUKU KOLEKSI 99 SPESIES BUAH DI FRIM







Sebuah buku bertajuk " 99 Spesies Buah di FRIM" telahpun diterbitkan oleh FRIM baru-baru ini. Saya terpanggil untuk mengucapkan tahniah kepada FRIM dan juga penulis buku ini.

     Penerbitan buku ini patut diberi sanjungan, bukan sahaja isi kandungannya tetapi penulis-penulisnya. Penulis-penulisnya terdiri daripada kakitangan FRIM berpangkat rendah yang mempunyai pengalaman kerja.  Mereka terdiri daripada pasangan suami isteri ia itu, Encik Othman Hasin dan isteri Zawiah Ngah. Encik Othman Hasin seorang Pembantu am tapak semaian dan Puan Zawiah seorang Pembantu Penyelidik perhutanan. Hasil pengalaman mereka dapat menerbitkan sebuah buku bertajuk di atas.

     Ketua Pengarah FRIM, Dr Abd Latif Mohmod patut juga diberi pujian kerana menggalakkan dan memberi peluang kepada  En Othman Hasin dan isterinya Puan Zawiah menulis buku dan merakamkan pengalaman kerja ke dalam sebuah penerbitan buku 99 spesies Buah di FRIM. Anjuran seperti ini jarang-jarang berlaku. Biasanya hal-hal seperti ini Ketua Pengarah, Ketua jabatan atau bos-bos mahu namanya diletakkan di satu sudut.

      Di Malaysia kini terdapat ramai saintis yang mempunyai kelayakan yang tinggi sehingga bertaraf PhD dalam banyak bidang. Malangnya kita masih belum melihat banyak buku-buku  sains bertaraf pengajaian tinggi  dalam bidang forestry, botany, Agriculture, horticulture dan sebagainya. Kalau ada pun di FRIM penulisnya adalah Scientists Pelawat sahaja.

      Saya merasa amat bangga dan syabas diucapkan kepada Encik Othman Hasin dan Puan Zawiah Ngah atas kejayaan menulis dan merakamkan pengalaman mereka dalam sebuah buku " 99 Spesies Buah di FRIM."    







Monday, June 17, 2013

MEMBAHARUI LESEN SENJATA API





Pada 11 Jun, 2013 yang lalu semua yang mempunyai senjata api ( senapang ) perlu menjalani ujian menembak untuk membaharui lesen. Ujian menembak diadakan di Kelab Menembang Kajang. Kelab menembak ini, jauh hampir 3 kilometer dari jalan Cheras-Semenyih dan terpaksa mengharungi jalan yang berlopak-lopak yang dipenuhi oleh buang binaan untuk sampai ke Kelap tersebut

Pada pukul 9 pagi sudah ramai memenuhi ruang Kelab tersebut. Rupa-rupanya semua pemegang lesen datang dari sekitar Kajang, Bangi dan lain-lain. Sepatutnya pada 11 hari bulan hanya pelesen dari Bangi sahaja.

Kebanyakan pemegang lesen yang  terdiri daripada golongan Melayu adalah warga tua dan senapang-senapang kepunyaan mereka sudah boleh dikatakan antik. Golongan lain pula yang lebih ramai kebanyakan warga muda dan senapang-senapang mereka pula semuanya Semi-auto. Rupa-rupanya sedikit benar golongan Melayu yang mempunyai senjata api. Seronok juga melihat golongan warga emas menjalani ujian menembak.

Setelah menunggu tiga jam untuk  pemeriksaan senapang saya ( Semi- Auto Beretta saya ) sampailah giliran saya pula untuk ujian menembak. Tidak ada masalah bagi saya. Dan lesen saya diperbaharui untuk setahun lagi





Tuesday, May 28, 2013

GALAKAN PENERBITAN BUKU ILMIAH SAINS, TEKNOLOGI DALAM BAHASA MELAYU CAKAP TAK SERUPA BIKIN

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mewujutkan dana RM2 juta melalui Dewan Bahasa dan Pustaka untuk menggalakkan penerbitan buku-buku ilmiah sains dan teknologi bertaraf ilmu tinggi dalam bahasa Melayu ( Utusan Malaysia 14 Okt.2011)

Baru-baru ini, kerajaan sekali menguntukkan RM2 juta lagi untuk Dewan Bahasa dan Pustaka bagi menggalakkan penulis menerbitkan karya yang bermutu tinggi, Selain peruntukan ini berbagai-bagai insentif bagi penulis ( STAR 16April,2013)














Kewujudan dana dan insentif amatlah menggembirakan penulis. Sebagai seorang penulis menyambut baik atas seruan kerajaan untuk menerbitkan buku-buku ilmiah sains dalam bahasa Melayu. 

Pada bulan Februari, 2008 saya telah menghantar satu manuskrip buku bertajuk DALAM DUSUN MELAYU (In the Malay Village Orchards ) ke DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA. Menuskrip ini merupakan kajian saya dalam bidang etnobotani Melayu, ia itu ruang perkebunan Melayu sebelum kedatangan penjajah ke alam Melayu. Kandungannya dipenuhi dengan buah-buah nadir yang mungkin tidak dikenali oleh generasi muda sekarang ini.

Pada bulan Oktober, 2008 saya mengantar satu lagi menuskrip ia itu BUNGA-BUNGAAN MALAYSIA
edisi ke 3. Edisi 1 diterbitkan 1977 dan edisi 11 diterbitkan 2000 oleh DBP.

Perjanjian lesen penerbitan buku Dalam Dusun Melayu telah ditanda tangani pada 8 November, 2010 dan buku Bunga-Bungaan Malaysia Edisi 3 pada 22 April, 2010. Dalam kedua perjajian itu royalti hanya 12% daripada jualan buku.  Hanya 50% sahaja akan dibayar apabila buku diterbitkan, selebihnya akan dibayar mengikut jualan buku.

Hingga hari ini, sudah hampir lima tahun sejak manuskrip disampaikan kepada DBP, masih belum tahu bilakan buku buku saya dapat diterbit. Manuskrip buku-buku berpindah tangan dari satu editor ke satu editor sehingga agak cemas kerana kekerapan kehilangan teks dan gambar.

Baru-baru ini saya diberi tahu bahawa  buku saya sedang di cetak oleh print corp Utusan. harga buku itu hanya RM 50. Begitu nilai buku Sains etnobotani Melayu. sebuah buku pengajian tinggi dalam Bahasa Melayu. Kadar royalti harga buku RM50, senaskhah berjumlah 3000 naskhah, amat menyedih dan mengecewakan saya.

Saya berasa kecewa dan sedih apakah kewujudan dana RM2 juta dan kewujudan insentif penulis RM2 juta lagi kepada DBP sebagai menutup kelemahan DBP. Sebenarnya Dewan Bahasa dan Pustaka tidak lagi berbahasa. 












Sunday, March 3, 2013

PERASMIAN TAMAN PANTUN UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA















Dalam posting saya pada 13 Februari, 2013 bertajuk "TAMAN PANTUN DALAM KENANGAN"
saya menulis mengenai Taman Pantun yang sudah terbiar sejak dilancarkan pada 17 September, 1990. Oleh sebab sebahagian besar spesies pokok-pokok yang disebut dalam pantun  yang terdapat dalam Taman itu sudah ditebang saya menyangkan Taman Pantun yang saya tubuhkan sudah tiada lagi. Timbullah kenangan yang agak menyayatkan hati.

Pada 28 Feb. 2013 saya memandu sekitar jalan Bangi lama melalui Taman Pantun kerana sebelumnya saya melihat pokok Dala (Cretava magna ) yang saya tanam dahulu berbunga lebat dan ingin mengambil gambarnya. Hairan juga saya ramai orang di sekitar Taman Pantun dan Istana lama yang terbiar dulu sudah berubah wajah. Saya yang tak tau malu terus masuk..Rupa-rupanya Perasmian Taman Pantun oleh Naib Canselor UKM.

Perasmian Taman Pantun? Selepas 23 tahun dilancarkan ! Geli juga hati saya dilancarkan selepas 23 tahun dirasmikan. Dalam pada itu gumbira juga saya Taman Pantun sudah mula dihidupkan semula. Rumah Istana lama sudah berubah wajah dan banyak lah pokok ditanam dan disediakan pantun. Sempat juga saya membaca pantun-pantun dan spesies pokok. Kecewa juga saya spesies pokok baru ditanam diberi nama botani yang salah dan pantunnya juga pantun moden. Sepatutnya pantun kelasik atau pantun tradisional.

Saya kira perasmian Taman Pantun merupakan perasmian "batuk di tangga" antau ambil nama sahaja.  Sebenarnya bukanlah perasmian Taman Pantun tetapi perasmian Istana Lama yang sudah terlalu banyak diperkatakan.

Istana lama dan persekitarannya Taman Pantun adalah sesuatu yang boleh dibanggakan. Jika diurus dan jaga dengan baik, UKM mempunyai satu taman yang berkonsepkan senibudaya, sains dan kesusasteraan Melayu.








Wednesday, February 13, 2013



TAMAN  PANTUN DALAM KENANGAN





Komposisi pokok-pokok dalam Taman Pantun
yang sudah ditebang. Pokok-pokok hidup bersimbiosis antara satu dengan yang lain. Satu contoh ruang perkebunan Melayu






Semasa berkhidmat di Universiti Kebangsaan Malaysia, saya telah mencadangkan untuk menubuhkan sebuah taman yang di panggil Taman Pantun.  Ramai yang tidak begitu memahami  tentang konsep Taman Pantun ini.
           
Dalam ratusan pantun tradisi banyak terdapat nama-   nama pokok. Pengkaji-pengkaji pantun maupun pakar-pakar pantun mungkin tidak dapat mengecam atau tidak tahu menahu tentang tumbuh-tumbuhan yang disebut di dalam pantun. Mereka mungkin tahu nama-namanya tetapi tidak pernah melihat pokok-pokoknya.

Dalam Taman Pantun ini spesies pokok yang disebut dalam pantun akan di tanam. Satu plak pantun akan diletakkan pada pokok berkenaan,

Contoh
                        Naik perahu belayar ke seberang,
                                    Menuju belukar menebang kayu;
                        Bukan tak tahu zaman sekarang,
                                    Gaharu dibakar Kemeyan berbau    
                                   
Gaharu –Aquilaria malaccemsis

Peminat-peminat pantun dan khalayak sambil berjalan-jalan di dalam Taman Pantun,  dapat mengenal pasti  tumbuhan yang disebut dalan pantun.

            Pada 17 September, 1990 Taman Pantun Universiti Kebangsaan telah dirasmikan oleh YB Dato’ Sabbaruddin Chik, Menteri Kebudayaan dan Pelancongan Malaysia  pada masa itu

            Taman Pantun seluar 16 ekar, bekas kampung tradisi Melayu telahpun terdapat kepelbagaian pokok dan kebanyakan spesies dikenal pasti namanya disebut dalam pantun. Komposisi pokok merupakan ruang perkebunan Melayu dan pokok-pokok bersimbiosis antara satu spesies dengan yang lain.( Lihat Gambar )

            Saya bersama-sama dengan team Bahagian Pertanian terus mencari spesies pokok dan terus menanam spesies yang disebut dalam pantun. Ramai juga pengunjung yang datang. Malang sekali sikap negatif  pengunjung  termasuk juga pekerja-perkeja, penuntut-penuntut mula merosak pokok-pokok, mengambil buah yang terdapat di Taman Pantun. Seterus plak-plak pantun dicuri dan keadaan yang sukar dikawal.

            Saya meninggal UKM pada tahun 1997 untuk berkhidmat di KLCC Projek Bhd, Putrajaya. Saya kerap datang ke Taman Pantun untuk mengambil gambar pokok-pokok untuk penulisan saya.  Kerap kali saya dapati Taman Pantun tidak lagi terjaga. Yang paling menyedihkan saya sebilangan spesies pokok-pokok ditebang. Saya tidak tahu mengapa pokok-pokok ditebang. Pokok yang paling saya  sayang ialah Bijai  yang mempunyai buah yang manis dan satu pokok Kelapa rambai, yang mempunyai tandan terjuntai sepanjang lebih 2 meter.

            Kini saya kira Taman Pantun UKM tidak lagi wujud dan tinggal namanya sahaja. Bagaimana pun saya masih lagi dihubungi oleh beberapa pelajar dari pusat-pusat pengajian  tinggi bersabit dengan peranan Taman Pantun.







            

Wednesday, January 16, 2013

POKOK ROTAN SEMAKIN HARI SEMAKIN PUPUS



Pokok Rotan manau


Pokok Rotan tergulung dalam kumpulan pokok Palma. Di Semenanjung Malaysia sahaja terdapat kira-kira 104 spesies. Kebanyakannya tumbuh liar di hutan-hutan dan kebanyakannya mempunyai habitat memanjat. ( Rotan manau ( Calamus manan ) di katakan pokok memanjat yang terpanjang di dunia. Burkill merekodkan Rotan manau  memanjat sepanjang 556 kaki.)

Masyarakat Melayu zaman dahulu amat menghargai pokok Rotan dan spesies palma lain sebagai kegunaan harian. Kita tidak dapat membayangkan kesukaran hidup jika tidak ada pokok Rotan dan palma untuk dijadikan atap, perabot anyaman, kraf.dan sebagainya.

Penghayatan datuk nenek kita zaman dahulu terhadap Rotan dapat dilihat tiap-tiap spesies Rotan mempunyai nama Melayunya tersendiri, seperti Rotan manau, Rotan sega, Rotan semambu, Rotan dahan, Rotan kertong, Rotan demuk dan  sebagainya. Kita percaya jenerasi sekarang tidak mungkin dapat mengenali spesies Rotan ini

Rotan, pada satu ketika dahulu merupakan industri yang benilai berjuta-juta ringgit dan mempunyai permintaan yang tinggi dari dalam dan luar negara. Begitu bernilai perabot-perabot Rotan dan krafnya dapat memenuhi permintaan antara bangsa.

Hari ini kita jarang-jarang dapat melihat perabot-perabot Rotan dan jika adapun harganya tersangat mahal, apatah lagi perabot yang dibuat daripada Rotan manau,  Rotan sega atau Rotan semambu.  Ini adalah disebabkan pokok-pokok Rotan  semakin pupus di hutan-hutan. 

Kita tidak  lagi berminat dengan pokok Rotan kerana kita mempunyai bahan alternatif seperti plastik. Tetapi membiarkan pokok-pokok Rotan  pupus bermakna kita melenyapkan juga seni dan budaya Melayu yang ada hubungan dengannya

Untuk tidak melenyapkan seni dan budaya Melayu yang ada hubungannya dengan Rotan dan spesies palma yang lain, saya telah mencadangkan sebuah Taman Palma ( Palmarum Malaysiana ) di bangunkan di Putrajaya.  Malang sekali cadangan saya tidak  mendapat pertimbangan.Saya juga telah mencadangkan sebuah Taman Palma dibangunkan di Bukit Kiara, Kuala Lumpur, di bawah cadangan Dewan Bandar Raya, Kuala Lumpur dan Jabatan Landskap Negara, tetapi tidak juga mendapat pertimbangan.

Beberapa tahun yang lalu kita bercakap tentang dasar Pemuliharaan Kepelbagaian Biologi ( Conservation of Biodiversity).  Tetapi hari ini  kemusnahan dan kepupusan kepelbagaian species disebabkan kemusnahan hutan tidak dapat dikawal lagi.



Saturday, December 22, 2012

DALAM DUSUN TRADISIONAL MELAYU (In the Malay Village Orchards)

 

3 Dusun

Dusun tradisi Melayu

 

2-Dusun

 

Dalam ruang perkebunan Melayu, terdapat ruang bercucuk tanam yang dipanggil dusun. Dalam ruang ini, nenek moyang kita zaman dahulu mendomestikasikan pokok buah-buahan sehingga terdapat kepelbagaian spesies, varieti, kultivar dan forma buah-buahan yang boleh dimakan. Ruang ini juga merupakan titik permulaan penempatan orang Melayu sehingga menjadi kampung.

Pengumpulan pokok dalam sesebuah dusun, cara-cara menanam dan teknik mendomestikasi buah-buahan, merupakan warisan sains, seni dan budaya Melayu yang unik. Kajian buah-buahan tropika perlu mengimbas kembali keunikan ini.

Tujuan menanam pokok buah-buahan ini semata-mata untuk sumbar makanan, sama ada dimakan segar atau dipelbagaikan kegunaannya. Penanamannya bukan untuk tujuan komersial seperti dusun-dusun moden sekarang. Dusun dimajukan untuk diwarisi anak cucu.

Hasil dusun biasanya dikongsi bersama-sama dan merupakan titian muhibah dalam hidup bermasyarakat di penempatan atau perkampungan tradisional Melayu. Sampainya musim buah-buahan, kerap dianjurkan kenduri kendara. Jemputan juga sering dilakukan untuk saudara mara dan sahabat handai jauh dan dekat untuk bersama-sama menikmati hasil buah kayu di dusun masing-masing..

Terdapat tidak kurang daripada 250 spesies buah-buahan yang boleh dimakan di dalam dusun-dusun. Ini tidak bermakna dalam sebuah dusun mempunyai koleksi tanaman buah buahan yang sama. Dalam sesebuah penempatan Melayu dahulu terdapat dusun-dusun dan masing-masing mempunyai koleksi spesies, varieti dan kultivar buah-buahannya tersendiri.

Masyarakat Melayu dahulu tidak mengelas buah yang boleh dimakan seperti kekeras ( nuts ) atau sebagainya. Buah yang dimakan segar atau yang dipelbagaikan kegunaannya dipanggil sahaja buah atau buah kayu.

Kepelbagian spesies pokok buah-buahan ini ditanam secara tak formal, bercampur-campur atau rencam dan tidak pula mengikut jarak tanaman. Pokok-pokok ini pula tidak dijaga dengan rapi, malah dibiarkan hidup dalam keadaan semula jadi. Pokok-pokok tidak diberi baja, dicantas atau dipangkas. Bagaimanapun, pokok-pokok ini hidup subur, bersaiz besar, sehingga menghasilkan buah yang banyak, dan ada pokok-pokok yang dapat hidup hingga beratus-ratus tahun.

Apa yang berlaku di dalam dusun ini, pokok-pokoknya hidup bersimbiosis atau bergantung hidup antara satu dengan yang lain. Fenomenon simbiosis antara spesies tumbuhan merupakan proses yang sangat kompleks dan sukar fahami. Sebagai contoh, pokok Durian yang merupakan pokok yang dominan dalam dusun mencapai ketinggian 30 – 50 meter dan di bawahnya ditanam pula pokok Manggis. Pokok Manggis memerlukan pelindung cahaya matahari di awal hidupnya dan pokok Durian dapat memberi pelindung ini. Akar Durian yang halus di permukaan tanah memerlukan pelindung cahaya matahari dan pokok Manggis dapat memberi pelindung ini dan ditambah pula dengan sungkupan daunnya yang gugur.

Contoh yang lain, pokok yang tergulung famili Leguminosae, terdapat nodul pada akarnya, hasil aktiviti bakteria dalam proses nitrifikasi. Nitrogen yang terdapat pada nodul dapat diserap oleh tumbuhan. Proses reputan vegetatif seperti daun-daun dan bahagian tumbuhan yang dilakukan oleh mikrobs dalam tanah merupakan juga proses nitrifikasi dan proses ini menyumbang bekalan nutrien bagi tumbuh-tumbuhan. Oleh sebab itu, kita lihat dusun-dusun dahulu tidak dibersihkan daripada tumbuhan liar.

Kepelbagaian pokok buah-buahan dan tumbuh-tumbuhan lain yang terdapat dalam dusun menarik berbagai-bagai serangga dan haiwan kecil seperti kelawar dan burung. Kehadiran serangga dan haiwan kecil ini membantu proses pendebungaan pokok buah-buahan

Pokok buah-buahan di dusun-dusun ini biasanya ditanam secara biji benih. Kebanyakan spesies ditanam secara tak formal. Buahan seperti Manggis, Rambai, Langsat dan lain-lain, bijinya yang ditelan akan keluar bersama najis dan bercambah dengan baik dan subur! Sains mengetahui bahawa biji-biji yang ditelan dan setelah melalui usus perut haiwan atau manusia akan bercambah dengan baik.

Penanaman menggunakan biji benih ini pula tidak menurun baka tulen. Contohnya, jika biji benih daripada pokok Rambutan yang manis ditanam, pokoknya nanti tidak semestinya menjadi baka yang manis juga. Hal ini disebabkan biji benih merupakan hasil daripada pendebungaan kacukan.

Pendebungan kacukan ini berlaku pada tiap-tiap tumbuhan berbunga termasuk juga buah-buahan. Evolusi pendebungaan kacukan ini sentiasa menghasilkan kepelbagaian baka. Oleh sebab itu dalam sesebuah dusun, terdapat kepelbagaian varieti dan forma buah-buahan. Seperti pokok Rambutan terdapat Rambutan yang manis, Rambutan masam, dan terdapat juga pokok Rambutan jantan. Pokok Durian pula kadang-kadang terdapat buah yang tawar dan tidak kurang pula buah yang kuning isinya, lemak dan manis.

Nenek moyang kita menyedari hal ini. Pemilihan biji benih sentiasa dilakukan dan biji benih yang dipilih terus ditanam di dusun-dusun. Proses pemilihan biji benih berterusan dari satu generasi ke satu generasi berikutnya hingga beratus-ratus tahun, dan secara semula jadi menghasil buah yang baik di dusun dusun. Hasil daripada pemilihan biji benih ini, buah-buahan seperti Durian, Manggis, Rambutan, Langsat, Duku, Duku-langsat, Dokong, dan lain-lain yang manis buahnya merupakan buah yang kita nikmati sekarang ini.

Dalam mengenalpasti buah-buahan ini nenek moyang kita memberi nama tiap-tiap spesies buah-buahan ini. Nama-nama ini masih releven dalam sains dan masih diguna pakai hingga hari ini.

Sebagai menghayati buah-buahan ini banyak nama tempat, kampung, bandar, negeri, sungai, bukit dan gunung didasarkan kepada nama buah-buahan seperti, Melaka, Machang, Tanjung Bangkong, Salak Tinggi, Bukit Mertajam, Renggam, Alor Setar, dan lain-lain. Nama buah-buahan ini juga dihayati dalam pantun dan peribahasa

Kedatangan kuasa barat seperti seperti Inggeris, Belanda dan Sepanyol ke alam Melayu dalam kurun yang ke 15 dan 16 banyak memperkenalkan kepelbagaian tanaman, termasuk juga buah-buahan dari luar negara. Di Malaysia, ahli-ahli sains Inggeris, bukan sahaja banyak memperkenalkan tanaman dari luar negara, tetapi juga memperkenalkan sains dan teknik pertanian moden, seterusnya mencorakkan perkebunan Melayu, menjurus kepada pembentukan perkebunan komersial.

Tanaman-tanaman yang diperkenalkan dari luar negara seperti Getah, Kelapa sawit, Koko, Kopi dan lain-lain yang ditanam dalam bentuk perladangan banyak melenyapkan konsep dusun dan perkebunaan Melayu.

Pembukaan penempatan baru terus menanam pokok Getah, Kopi, seterusnya Kelapa sawit dan Koko. Di dusun-dusun juga pokok-pokok buah-buahan ditebang dan digantikan dengan tanaman buah-buahan bernilai komersial. Pokok-pokok ini terdiri daripada klon-klon terpilih, yang boleh menghasilkan buah yang berkualiti tinggi dan pulangan yang baik. Contohnya seperti Durian klon D2, D7, D10, D24, dan D99 Begitu juga buah-buah lain, seperti Rambutan, digantikan dengan klon seperti R3, R7, R134, R156, Cempedak seperti CH26, CH27, CH28,

Klon-klon ini juga merupakan pemilihan baka melalui teknik cantuman mata tunas. Pemilihan baka ini dilakukan oleh ahli-ahli sains pertanian Inggeris di awal kurun yang kedua puluhan. Kultivar dan klon-klon yang dipilih ini adalah hasil daripada koleksi pokok-pokok buah-buahan yang terdapat di dusun-dusun.

Kita harus berterima kasih kepada ahli-ahli sains Inggeris, bukan sahaja memperkenalkan kepelbagaian tanaman perladangan, tetapi juga memperkenalkan sains dan teknik pertanian moden. Bagaimanapun, penjurusan kepada konsep komersial, banyak buah-buahan dan tumbuh-tumbuhan warisan negara yang tidak bernilai komersial, terbiar dan diancam kepupusan.

Kemajuan sains, terutamanya dalam bidang penyelidikan farmakologi tumbuhan yang dahulunya tidak bernilai komersial, kini mula diketahui mempunyai potensi dalam bidang perubatan. Sebagai contoh: Mengkudu ( Morinda citrifolia ) yang ditanam di dusun-dusun dan tumbuh liar di sekitar tanah terbiar, kini diterima sebagai tanaman yang dapat meningkatkan sistem imun, antioksidan seterusnya meningkatkan kesihatan. Begitu juga pokok Melaka ( Phyllanthus emblica), kini didapati kaya dengan kandungan vitamin C dan berkhasiat antioksidan yang dapat meningkatkan kesihatan.

Untuk mencari dan seterusnya memulihara pokok buah-buahan yang pada satu ketika dahulu mudah ditemui di dusun-dusun amat sukar dilakukan. Banyak spesies yang diancam kepupusan atau kemungkinan ada yang telah pupus buat selama-lamanya. Generasi muda sekarang ini pula tidak lagi meminati tumbuh-tumbuhan ini, jauh lagi dapat mengecam dan menghayatinya sebagai warisan negara.

Nota:  Buku Dalam Dusun Melayu akan terbit tidak lama oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.

Wednesday, October 24, 2012

TAMAN BOTANI PUTRAJAYA TERBANGKALAI DAN TAMAN-TAMAN LAIN TIDAK DI SELENGGARA URUS DENGAN BAIK

 

Laporan Audit Negara 2011 mengaitkan tentang Taman-Taman Putrajaya tidak diselenggara dengan baik, ketiadaan kawalan keselamatan dan ketiadaan promosi bagi menarik pengunjung  ke taman-taman tersebut. 

Bila Putrajaya bercadang  membangunkan Taman Botani, Herbarium dan tiga belas taman dengan berbagai-bagai konsep seterusnya menjadikan Putrajaya bandar dalam taman, sesuatu yang amat disanjung tinggi oleh khalayak terutama mereka yang meminati dalam usaha-usaha  pemuliharaan kepelbagaian biologi. alam sekitar dan tumbuh-tumbuhan

Kita sedar bahawa Malaysia mempunyai bilangan spesies tumbuhan antara yang tertua dan terkaya di dunia. Malangnya kita masih lagi belum mempunyai Taman Botani dan Herbarium negara. Kita pernah mempunyai Taman Botani dan Herbarium yang amat terkenal di Singapura, tetapi kini Taman itu bukan lagi kepunyaan kita.

Dalam perancangan asal Taman Botani Putrajaya merupakan Pusat penyelidikan tinggi tumbuh-tumbuhan, pemuliharaan kepelbagaian spesies, pembelajaran dan destinasi pelancong. Selain itu, ia mempunyai 13 subsidiari taman, seperti Wetland, Taman Wetland, Pancarona, Taman Gimnosperma, Rimba alam, Taman wawasan, Taman warisan pertanian dan berbagai-bagai konsep taman dirancangkan bagi memenuhi kepentingan Taman Botani supaya ia dapat diiktiraf oleh Persatuan Botani Antara Bangsa

Malang sekali Perunding ( Consultant ) yang merancang dan membangunkan Taman Botani Putrajaya adalah seorang landscape architect   dari luar negara, yang tidak tahu langsung tentang tumbuhan tempatan jauh lagi tentang Flora Malesiana. Pengurus projek pula seorang Jurutera Awam.

Ketiadaan botanist, ecologist, agronomist, horticulturist semasa membangunkan Taman Botani,  akhirnya objektif dan peranannya sebagai Taman Botani menyimpang jauh dan taman yang sepatutnya menjadi Taman Botani menjadi taman tanaman hiasan sahaja. Paling menyedihkan Taman Botani kini terbengkalai dan Herbarium Negara juga entah kemana

Pembangunan Taman-Taman yang lain juga menyimpang jauh daripada konsepnya kerana ketiadaan pakar tumbuh- tumbuhan semasa perencangan dan pembangunannya

Spesies  tumbuh-tumbuhan yang ditanam pula ditentukan oleh pengusaha pengusaha  semaian yang berluasa di sekitar Muar. Spesies-spesies yang ditentukan kebanyakan diperkenalkan dari negara luar negara. Oleh sebab itu, Taman-Taman di Putrajaya mempunyai spesies tumbuhan yang agak sama dan hampir 90% spesies tumbuh-tumbuhan merupakan spesies yang diimport, sedangkan spesies asli Malaysia tidak digunakan.

Persoalannya,  mengapakan ahli sains seperti botanist, ecologist, horticulturist, agronomist tidak diberi peluang untuk pembangunan taman-taman juga pembangunan physical negara. Apakah seorang jurutera atau architect tahu tentang alam tumbuhan dalam pembangunan physical. Ceritanya hampir sama apabila seorang tukang gunting  hendak menjadi tukang gigi ( When a barber wants to become a dentist) Begitu cara pembangunan Taman-Taman di Putrajaya. Begitu jugalah pembangunan physical kita yang kini terlalu banyak dipersoalkan.

 

DSC_0054

Taman Saujana Hijau Putrajaya yang terdiri daripada tumbuhan kumpulan gimnosperma (Gymnosperm) yang terdapat di sekitar Tenggara Asia. 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

  1. HBT456's GravatarHBT456

     

  2.  

  3.  

  4. October 22, 2012 at 10:37 am | Permalink

    Good morning YAB,

Monday, October 15, 2012

BERHATI-HATI TENTANG TUMBUHAN BERACUN DALAM PERUBATAN TRADISIONAL


Sejak kebelakangan ini terlalu banyak tersiar dan promosi tentang perubatan tradisional. Ubat-ubat ini terdiri daripada berbagai-bagai jenis herba, syrub atau pokok  yang dikatakan dapat menyembuhkan berbagai-bagai penyakit. Pembuat atau penjual ubat-ubat ini tidak segan silu lagi menerangkan tentang efek farmakologi yang boleh menyembuhkan penyakit seperti darah tinggi, kecing manis, kanser, stroke mati pucuk dan sebagainya.

     Hal ini tidak fahami oleh pesakit-pesakit dan biasa terus membeli ubat-ubat ini. Ada pokok ubat ini dijual dan terus ditanam dan diamalkan memakannya. Dalam sinarai tumbuh-tumbuhan perubatan biasanya ditulis tajuknya MEDICINAL AND POISONOUS PLANTS. Ini bermakna tumbuhan perubatan biasanya mengandungi RACUN.

    Jarang sekali kita dengar seseorang itu keracunan memakan ubat tradisional. Tetapi hal ini kerap berlaku dan tidak dilaporkan. Seorang yang saya kenali keracunan teruk. Dia  diberi tahu tentang rempang Lempoyang hitam ( Zingiber ottensii  ) boleh mengubati sakit lututnya. Beliau menyapu,lutunya dengan rempang Lempoyang yang telah ditumbuk  dan seterus meminum air rempang yang diperah. Belau telah mengalami keracunan sehingga lututnya  melecur dan muntah yang teruk. Seorang kenalan yang lain, diberi tahu tentang ubat yang didapat mengubat darah tingginya. Beliau terus memakan ubat itu dan akhirnya mendapat stroke.

    Dalam hal ini pengguna perubatan tradisional perlu berhati-hati. Kandungan kimia yang terdapat dalam tumbuhan ubat berupa mentah atau raw lagi. Tidak ramai  yang tahu tentang efek farmakologi  tentang kepelbagaian spesies tumbuhan ubat tempatan.

     Nenek moyang kita zaman dahulu amat arif tentang ubat-ubat tradisional ini.   Ada catatan yang dikumpulkan oleh I.H Burkil and Mohamed Haniff 1930 jelas menunjukkan kepakaran nenek moyang kita dahulu dalam perubatan menggunakan tumbuh-tumbuhan tempatan. Malangnya kita tidak lagi  mempunyai kepakaran dalam mengenalpasti tumbuh-tumbuhan ubat seperti yang tercatat dalam Burkil dan Mohamed Haniff. Kebanyakan spesies yang tercatat dalam Burkil dan Mohamed Haniff  sukar ditemu lagi.

     Usaha penyelidikan tumbuhan perubutan perlu segera dijalankan. Sebaiknya  perlu ada taman taman untuk memulihara tumbuhan-tumbuhan ini sebagai Warisan Negara.














Clinacanthus nutans
Famili: Acanthaceae
Nama Tempatan: Snake grass
                            Belalai gajah
                            Tarum siam
                            Dandang gendi

Species herba atau syrub ini dikatakan dapat mengubati berbagai-bagai penyakit termasuk kanser.
Kini mula ditanam sekitar rumah untuk tujuan perubatan.                                                                                 Belum diketahui tentang efek farmakologinya.

Friday, August 10, 2012

LADANG POKOK, TREE FARMING ATAU BAUMSCHULE

 

Negara maju seperti Jerman terdapat Ladang pokok, tree farming atau Baumschule. Tujuan tree farming ini adalah untuk tanaman pokok bagi pengindahan bandar. Pokok-pokok dipilih dan disesuaikan untuk pengindahan taman atau bandar ditanam di tanah dan digali apabila diperlukan untuk ditanam semula ke taman-taman.

     Di Malaysia terdapat juga ladang pokok tetapi cara penanaman dan pengurusannya amat unik. Ladang pokok di Malaysia spesies pokok ditanam dalam karung plastik besar dan disusun mengikut spesies dan sedia untuk dijual ( Lihat gambar )

 

DSC_0026

 

DSC_0027 (2)

       Ladang-ladang pokok ini atau sering disebut Nursery terdapat ratusan ekar di sekitar Muar, Johor. Ladang ini di usahakan oleh pekebun pekebun China.

         Organisasi pengurusan dan pemasaran pokok bergabung rapat dengan negara jiran bagi mendapatkan benih-benih pokok, selain khidmat nasihat tentang pokok.  Pemasaran juga ada hubung kait dengan sistem “cartel”

       Seseorang yang hendak membuat reka bentuk senitaman, biasanya  akan mendapat nasihat daripda pengusaha  ladang pokok atau nursery di Muar. Pengusaha Nursery ini akan menganjurkan spesies-spesies yang diperlukan dan kadang-kadang memberi anggaran harga pokok. Akhirnya pokok-pokok terjual dengan harga yang menakjupkan

       Usaha ladang pokok yang dijalankan oleh Pekebun-pekebun China di Muar banyak membantu dalam pembangunan seni taman di Malaysia. Boleh dikatakan hampir 99% pokok yang ditanam di Semenjung Malaysia atas usaha pekebun-pekebun China ini.

      Pengiktirafan dan penghargaan patut diberi kepada pengusaha ladang-ladang pokok atau nursery ini   kerana usaha menghijaukan alam sekitar Malaysia. 

 

DSC_0029

Saturday, June 23, 2012

Teknik Bio-Kejuruteraan Boleh Mengawal dan Menstabilkan Cerun dan Bukit.

 

Jika kita perhatikan sekitar lebuh raya dan sekitar kawasan perumahan yang berbukit yang telah ditolak tambus, beratus-ratus curam dan cerun bukit  menunggu masa untuk tergelincir atau runtuh. Tidak ada tanda-tanda yang boleh dikesan bila ia akan berlaku, kebiasaannya pada bila-bila masa sahaja  pada musim hujan

Tanah yang telah ditolak tambus menjadi gersang dan tidak ada tumbuhan yang boleh hidup lagi sehingga beberapa tahun ( Lihat gambar)

010

Alam semula jadi ( nature ) dalam hal ini membantu memulihkan kesuburan tanah. Spora paku pakis  Resam ( Dicranopteris linearis) tumbuh memenuhi ruang-ruang tanah yang telah ditolak tambus.

006

Resam 1

(Paku pakis Resam tumbuh sendiri sebagai penutup bumi selain menyuburkan semula tanah)

Burung-burung seperti Merbah, Punai, Kelicap mula berlindung di bawah-bawah pokok Resam sembil melepaskan najis yang mengandungi biji-biji benih syrub dan pokok. Syrub dan pokok-pokok seperti Senduduk, Mahang, Halban dan sebagainya tumbuh dan hidup dengan baik. Dalam tempoh yang sengkat, tanah yang ditolak tambus menjadi subur dan dipenuhi oleh berbagai-bagai spesies tumbuhan

Bagaimanapun, cerun cerun yang dibina kebanyaknya terlalu curam dan tinggi, seperti dalam gambar ini

008

(Cerun ini akan runtuh pada bila bila masa sahaja)

Resam 4_thumb

Ada pula  teknik hydro-seeding, ia itu dengan menyebur biji benih rumput yang diimport. Teknik ini  sebenarnya tidak dapat menyuburkan tanah jauh lagi dapat mengawal hakisan. Rumput ini mudah terbakar dan lebih merosakkan keadaan cerun

Cerun seperti gambar di atas, yang curam, tinggi dan hanya dilakukan dengan teknik hydro seeding sahaja mudah berlaku kegelinciran  atau tanah runtuh. Apabila berlaku kegeliciran cerun atau tanah runtuh kos membaik pulih amat tinggi. 

Satu cara untuk mengawal dan menstabilkan cerun dan bukit yang ditolak tambus ialah teknik Bioengineering, ia itu teknik menanam pokok yang dipilih khas untuk mengawal dan menstabilkan cerun dan bukit yang telah ditolak tambus.

Pokok yang dipilih khas ialah spesies pokok yang mempunyai akar yang kuat dan mempunyai banir yang tinggi selain kesusaian habitatnya.

  Bio2

      (Akar dan banir pokok yang dapat mengawal hakisan)

Beberapa spesies pokok telah  dapat kenalpasti  untuk teknik bioengineering ini. Bagaimanapun, masalah timbul dalam hal menyuburkan semula tanah  yang telah ditolak tambus bagi membolehkan spesies yang ditentukan itu hidup. Ini memerlukan “trial and error on the spot” iaitu melakukan inoculasi mikrop.

Masalah lain timbul adalah tentang penyelenggaraan yang betul termasuk pemberian nutrien ( baja ) yang betul serta kawalan keselamatan pokok.

Kesukaran yang lain timbul ialah dari sudut budaya kerja kita. Pembangunan fizikal kita dikongkong oleh satu sudut sahaja ia itu budaya  buldozer oriented oleh sesiapa sahaja dalam kontrak pembangunan fizikal sedangkan kita mempelapori pembangunan hijau konon.

Ismail Saidin 

 

 

Saturday, June 2, 2012

KAWALAN TANAH RUNTUH, KEGELINCIRAN CERUN DAN RUMAH GELAS DI UKM

 

Baru-baru ini saya melapangkan sedikit masa berjalan-jalan ke kampus UKM. Di awal penubuhan UKM saya bertanggung jawab mereka bentuk seni taman dan menjalankan kerja-kerja menanam pokok. Tujuan saya berjalan-jalan ke kampus semata-mata untuk melihat pokok-pokok yang saya tanam dahulu

Saya amat merasa gembira dan bangga kerana kepelbagaian pokok yang saya kumpul dan tanam masih hidup dan dijaga dengan baik. Bagaimanapun ada beberapa spesies pokok dan palma sudah tiada lagi mungkin sudah mati atau dibuang. Spesies pokok dan buah-buahan yang banyak disebut dalam pantun dan peribahasa sudah tidak ada lagi.

Bio1

 

Bio2

Kampus UKM terdapat cerun-cerun hasil daripada tarahan bukit. Saya telah cuba melakukan teknik bioengineering bagi mentabilkan cerun dan tarahan bukit. Beberapa spesies pokok telah ditanam bagi menstabil dan mengawal hakisan cerun. Saya rasa bangga pokok yang ditanam itu mempunyai banir yang dapat menstabilkan cerun. Cerun-cerun nampaknya stabil dan mungkin tidak akan berlaku kegelinciran

Di sekitar plot percubaan, apabila melihat rumah gelas, teringat saya bagaimana pada mula-mulanya ia dibina – nostalgia yang menyedihkan saya. 

 

UKM 1

 

Saya telah menasihatkan kawasan tropika tidak perlu membina rumah gelas. Rumah gelas hanya dibina di negara yang berhawa dingin bertujuan untuk menyimpan pokok-pokok dengan suhu yang ditentukan. Rumah gelas terus dibina dan kemudiannya apabila pokok dimasukkan terus kering!

Keseluruhannya saya amat bangga dengan senitaman UKM dengan kepelbagaian spesies pokok dan palma yang masih kekal dan hidup subur.

 

 

 

Thursday, May 17, 2012

WARNA WARNI HUTAN TROPIKA MALAYSIA

 

Negara berhawa sederhana (Temperate countries) mempunyai empat musim. Musim meluruh dan musim bunga merupakan musim yang dinanti-nanti kerana keindahan pelbagai warna. Musim luruh terdapat keindahan daunan pelbagai warna. Musim bunga pula terdapat pelbagai warna bunga-bungaan.

Di Malaysia tidak terdapat musim bunga atau musim meluruh, hanyalah kehijauan sepanjang tahun. Bagaimanapun, terdapat juga banyak spesies pokok mempamirkan keindahan pelbagai warna  bila sampai musimnya. Keindahan warna warni ini bila sampai musim meluruh (deciduous) bagi setengah-setegah spesies pokok dan yang lainnya pula mula berpucuk muda. Keindahan warna warni dapat di lihat di sekitar hutan di bukit-bukit dan gunung

 

PTN557

PTN533

Nenek moyang kita zaman dahulu peka tentang keindahan warna warni ini dan  dapat mengecam musimnya seterus dijadikan panduan untuk mula turun ke ladang bersawah padi atau upacara pertanian. Generasi sekarang ini tidak lagi peka dalam hal ini

Warga negara asing pula mencari spesies pokok ini untuk dijadikan elemen seni taman dan dijual dengan harga yang mahal

DSC_0027

P9

Semasa  berkhidmat sebagai botanist  di bawah KLCC Projek, saya telah mencadangkan sebuah taman berkonsep warna warni. Caranya ialah dengan  menanaman berkelompok satu-satu spesies supaya memberi impak warna. Taman ini saya panggil Taman Pancarona Putrajaya. Saya telah menyedia spesies yang sepantutnya ditanam.

 Baru-baru ini dalam siri jalanan mengambil gambar untuk buku saya, Taman Pancarona yang saya ilham tidak kesampaian. Pokok yang ditanam bukan daripada spesies Pancarona

Saturday, March 31, 2012

Pepohon Kebangsaan Malaysia( Malaysian National Tree

 

Kita telahpun mempunyai Bunga Kebangsaan, ia itu Bunga Raya ( Hibiscus rosa sinensis ). Bagaimanapun, kita belum lagi mempunyai pokok atau Pepohon Kebangsaan.

Kalau kita lihat sekitar taman-taman kita kini dipenuhi berbagai-bagai spesies pokok yang dibawa atau diimport dari luar negara. Tidak ramai yang tahu hal ini dan jauh lagi mengetahui bahawa pokok-pokok yang diimport ini ada yang sudah  merosakkan persekitaran ekoloji hutan.

Walaupun Malaysia  antara negara yang mempunyai bilangan spesies antara yang tertua dan terkaya di dunia, tetapi tidak ramai yang menghayatinya sebagai warisan negara.

Sampai masanya kita perlu memilih satu spesies pokok untuk dikenali sebagai Pepohon atau Pokok Kebangsaan atau National tree. Kalau Bunga raya berunsur rukun negara berdasar petalnya, Pepohon Kebangsaan melambang kesenian dan sains negara. Pepohon kebangsaan ini dapat menyedarkan tentang pentingnya memulihara tumbuhan kita.

Saya ingin mencadangkan Pepohon atau pokok kebangsan kit:

Peltophorum pterocarpun

Famili:   Leguminosae

Negara Asal: Malesia

Nama Tempatan: Jemerlang, Batai

                   Yellow Flame

 

Peltophorum

Pokok Jemerlang atau Yellow Flame memenohi syarat-syarat sebagai Pokok atau Pepohon Kebangsaan atau National Tree           

  • Pokok ini ialah pokok tempatan dan tersebar sekitar Nusantara
  • Pokok ini mudah hidupnya, kuat dan tidak mudah patah
  • Mempunyai bunga kuning yang menarik
  • Tidak mengotorkan kawasan
  • Memberi teduhan yang baik
  • Hidup sebarang jenis tanah

Saya mohon pembaca memberi pandangan dan cadangan untuk menjayakan konsep Pokok kebangsaan Malaysia ini

 

Ismail Saidn

Saturday, February 4, 2012

AKAR PERIOK KERA–TUMBUHAN UNIK MALAYSIA

 

Malaysia amat terkenal dengan kepelbagaian flora antara yang terkaya dan tertua di dunia. Ada spesies antara flora ini yang tersangat unik, ia itu Akar periok kera atau lebih dikenali juga sebagai Nepenthes.

 

20040608-11431120040608-114912

Nepenthes ampullaria

 

Keunikan Akar periok kera ini, tip daunnya membesar dan membentuk seperti mangkuk dengan berbagai-bagai saiz dan bentuk serta warna warna yang menarik mengikut spesies.

Mangkuk-mangkuk ini biasanya bertujuan untuk memerangkap serangga. Dalam mangkuk ini terdapat air bertakung dan sekitar pemukaan mangkuk terdapat pula sumbar-sumbar nektar. Serangga-serangga akan tertarik dengan nektar-nektar ini dan biasanya akan terjatuh dan mati lemas dalam mangkuk. yang  bertakung air. Serangga-serang yang mati dicerna dan nutrien yang dicerna  menjadi makanan bagi pokok  periok kera ini.

Di Malaysia terdapat kira-kira 85 spesies Akar periok kera. Masih banyak spesies yang masih belum ditemui, terutamanya di Sarawak dan Sabah. Usaha untuk memulihara tumbuhan ini tidak banyak dilakukan. Pembangunan pesat yang tidak terkawal mungkin akan mengancam kepelbagaian spesies akar periok kera.

Semasa saya melawat beberapa Taman Botani di German dahulu saya perhatikan banyak pokok Akar periok kera ini sudah dilakukan penghibridan dan dijadikan tanaman hiasan yang sangat mahal. Lebalnya menunjukkan tanaman ini berasal dari Malaysia

DSC_0167

 

Usaha untuk membudidayakan tanaman Akar periok kera atau Nepenthes ini tidak banyak dilakukan, sedang tanaman ini berpotensi besar sebagai tanaman hiasan yang boleh dijadikan elemen seni taman Malaysia. Keunikan Nepenthes boleh menarik pelancong luar negara.