er Researcher Institute of Malay World and Civilization UKMf

My photo
Bandar Baru Bangi, Selangor, Malaysia
An Agri/Horticulturist and Botanist, German Foundation Scholar, Former researcher, Institute of Malay World and Civilization National University Malaysia

Saturday, December 22, 2012

DALAM DUSUN TRADISIONAL MELAYU (In the Malay Village Orchards)

 

3 Dusun

Dusun tradisi Melayu

 

2-Dusun

 

Dalam ruang perkebunan Melayu, terdapat ruang bercucuk tanam yang dipanggil dusun. Dalam ruang ini, nenek moyang kita zaman dahulu mendomestikasikan pokok buah-buahan sehingga terdapat kepelbagaian spesies, varieti, kultivar dan forma buah-buahan yang boleh dimakan. Ruang ini juga merupakan titik permulaan penempatan orang Melayu sehingga menjadi kampung.

Pengumpulan pokok dalam sesebuah dusun, cara-cara menanam dan teknik mendomestikasi buah-buahan, merupakan warisan sains, seni dan budaya Melayu yang unik. Kajian buah-buahan tropika perlu mengimbas kembali keunikan ini.

Tujuan menanam pokok buah-buahan ini semata-mata untuk sumbar makanan, sama ada dimakan segar atau dipelbagaikan kegunaannya. Penanamannya bukan untuk tujuan komersial seperti dusun-dusun moden sekarang. Dusun dimajukan untuk diwarisi anak cucu.

Hasil dusun biasanya dikongsi bersama-sama dan merupakan titian muhibah dalam hidup bermasyarakat di penempatan atau perkampungan tradisional Melayu. Sampainya musim buah-buahan, kerap dianjurkan kenduri kendara. Jemputan juga sering dilakukan untuk saudara mara dan sahabat handai jauh dan dekat untuk bersama-sama menikmati hasil buah kayu di dusun masing-masing..

Terdapat tidak kurang daripada 250 spesies buah-buahan yang boleh dimakan di dalam dusun-dusun. Ini tidak bermakna dalam sebuah dusun mempunyai koleksi tanaman buah buahan yang sama. Dalam sesebuah penempatan Melayu dahulu terdapat dusun-dusun dan masing-masing mempunyai koleksi spesies, varieti dan kultivar buah-buahannya tersendiri.

Masyarakat Melayu dahulu tidak mengelas buah yang boleh dimakan seperti kekeras ( nuts ) atau sebagainya. Buah yang dimakan segar atau yang dipelbagaikan kegunaannya dipanggil sahaja buah atau buah kayu.

Kepelbagian spesies pokok buah-buahan ini ditanam secara tak formal, bercampur-campur atau rencam dan tidak pula mengikut jarak tanaman. Pokok-pokok ini pula tidak dijaga dengan rapi, malah dibiarkan hidup dalam keadaan semula jadi. Pokok-pokok tidak diberi baja, dicantas atau dipangkas. Bagaimanapun, pokok-pokok ini hidup subur, bersaiz besar, sehingga menghasilkan buah yang banyak, dan ada pokok-pokok yang dapat hidup hingga beratus-ratus tahun.

Apa yang berlaku di dalam dusun ini, pokok-pokoknya hidup bersimbiosis atau bergantung hidup antara satu dengan yang lain. Fenomenon simbiosis antara spesies tumbuhan merupakan proses yang sangat kompleks dan sukar fahami. Sebagai contoh, pokok Durian yang merupakan pokok yang dominan dalam dusun mencapai ketinggian 30 – 50 meter dan di bawahnya ditanam pula pokok Manggis. Pokok Manggis memerlukan pelindung cahaya matahari di awal hidupnya dan pokok Durian dapat memberi pelindung ini. Akar Durian yang halus di permukaan tanah memerlukan pelindung cahaya matahari dan pokok Manggis dapat memberi pelindung ini dan ditambah pula dengan sungkupan daunnya yang gugur.

Contoh yang lain, pokok yang tergulung famili Leguminosae, terdapat nodul pada akarnya, hasil aktiviti bakteria dalam proses nitrifikasi. Nitrogen yang terdapat pada nodul dapat diserap oleh tumbuhan. Proses reputan vegetatif seperti daun-daun dan bahagian tumbuhan yang dilakukan oleh mikrobs dalam tanah merupakan juga proses nitrifikasi dan proses ini menyumbang bekalan nutrien bagi tumbuh-tumbuhan. Oleh sebab itu, kita lihat dusun-dusun dahulu tidak dibersihkan daripada tumbuhan liar.

Kepelbagaian pokok buah-buahan dan tumbuh-tumbuhan lain yang terdapat dalam dusun menarik berbagai-bagai serangga dan haiwan kecil seperti kelawar dan burung. Kehadiran serangga dan haiwan kecil ini membantu proses pendebungaan pokok buah-buahan

Pokok buah-buahan di dusun-dusun ini biasanya ditanam secara biji benih. Kebanyakan spesies ditanam secara tak formal. Buahan seperti Manggis, Rambai, Langsat dan lain-lain, bijinya yang ditelan akan keluar bersama najis dan bercambah dengan baik dan subur! Sains mengetahui bahawa biji-biji yang ditelan dan setelah melalui usus perut haiwan atau manusia akan bercambah dengan baik.

Penanaman menggunakan biji benih ini pula tidak menurun baka tulen. Contohnya, jika biji benih daripada pokok Rambutan yang manis ditanam, pokoknya nanti tidak semestinya menjadi baka yang manis juga. Hal ini disebabkan biji benih merupakan hasil daripada pendebungaan kacukan.

Pendebungan kacukan ini berlaku pada tiap-tiap tumbuhan berbunga termasuk juga buah-buahan. Evolusi pendebungaan kacukan ini sentiasa menghasilkan kepelbagaian baka. Oleh sebab itu dalam sesebuah dusun, terdapat kepelbagaian varieti dan forma buah-buahan. Seperti pokok Rambutan terdapat Rambutan yang manis, Rambutan masam, dan terdapat juga pokok Rambutan jantan. Pokok Durian pula kadang-kadang terdapat buah yang tawar dan tidak kurang pula buah yang kuning isinya, lemak dan manis.

Nenek moyang kita menyedari hal ini. Pemilihan biji benih sentiasa dilakukan dan biji benih yang dipilih terus ditanam di dusun-dusun. Proses pemilihan biji benih berterusan dari satu generasi ke satu generasi berikutnya hingga beratus-ratus tahun, dan secara semula jadi menghasil buah yang baik di dusun dusun. Hasil daripada pemilihan biji benih ini, buah-buahan seperti Durian, Manggis, Rambutan, Langsat, Duku, Duku-langsat, Dokong, dan lain-lain yang manis buahnya merupakan buah yang kita nikmati sekarang ini.

Dalam mengenalpasti buah-buahan ini nenek moyang kita memberi nama tiap-tiap spesies buah-buahan ini. Nama-nama ini masih releven dalam sains dan masih diguna pakai hingga hari ini.

Sebagai menghayati buah-buahan ini banyak nama tempat, kampung, bandar, negeri, sungai, bukit dan gunung didasarkan kepada nama buah-buahan seperti, Melaka, Machang, Tanjung Bangkong, Salak Tinggi, Bukit Mertajam, Renggam, Alor Setar, dan lain-lain. Nama buah-buahan ini juga dihayati dalam pantun dan peribahasa

Kedatangan kuasa barat seperti seperti Inggeris, Belanda dan Sepanyol ke alam Melayu dalam kurun yang ke 15 dan 16 banyak memperkenalkan kepelbagaian tanaman, termasuk juga buah-buahan dari luar negara. Di Malaysia, ahli-ahli sains Inggeris, bukan sahaja banyak memperkenalkan tanaman dari luar negara, tetapi juga memperkenalkan sains dan teknik pertanian moden, seterusnya mencorakkan perkebunan Melayu, menjurus kepada pembentukan perkebunan komersial.

Tanaman-tanaman yang diperkenalkan dari luar negara seperti Getah, Kelapa sawit, Koko, Kopi dan lain-lain yang ditanam dalam bentuk perladangan banyak melenyapkan konsep dusun dan perkebunaan Melayu.

Pembukaan penempatan baru terus menanam pokok Getah, Kopi, seterusnya Kelapa sawit dan Koko. Di dusun-dusun juga pokok-pokok buah-buahan ditebang dan digantikan dengan tanaman buah-buahan bernilai komersial. Pokok-pokok ini terdiri daripada klon-klon terpilih, yang boleh menghasilkan buah yang berkualiti tinggi dan pulangan yang baik. Contohnya seperti Durian klon D2, D7, D10, D24, dan D99 Begitu juga buah-buah lain, seperti Rambutan, digantikan dengan klon seperti R3, R7, R134, R156, Cempedak seperti CH26, CH27, CH28,

Klon-klon ini juga merupakan pemilihan baka melalui teknik cantuman mata tunas. Pemilihan baka ini dilakukan oleh ahli-ahli sains pertanian Inggeris di awal kurun yang kedua puluhan. Kultivar dan klon-klon yang dipilih ini adalah hasil daripada koleksi pokok-pokok buah-buahan yang terdapat di dusun-dusun.

Kita harus berterima kasih kepada ahli-ahli sains Inggeris, bukan sahaja memperkenalkan kepelbagaian tanaman perladangan, tetapi juga memperkenalkan sains dan teknik pertanian moden. Bagaimanapun, penjurusan kepada konsep komersial, banyak buah-buahan dan tumbuh-tumbuhan warisan negara yang tidak bernilai komersial, terbiar dan diancam kepupusan.

Kemajuan sains, terutamanya dalam bidang penyelidikan farmakologi tumbuhan yang dahulunya tidak bernilai komersial, kini mula diketahui mempunyai potensi dalam bidang perubatan. Sebagai contoh: Mengkudu ( Morinda citrifolia ) yang ditanam di dusun-dusun dan tumbuh liar di sekitar tanah terbiar, kini diterima sebagai tanaman yang dapat meningkatkan sistem imun, antioksidan seterusnya meningkatkan kesihatan. Begitu juga pokok Melaka ( Phyllanthus emblica), kini didapati kaya dengan kandungan vitamin C dan berkhasiat antioksidan yang dapat meningkatkan kesihatan.

Untuk mencari dan seterusnya memulihara pokok buah-buahan yang pada satu ketika dahulu mudah ditemui di dusun-dusun amat sukar dilakukan. Banyak spesies yang diancam kepupusan atau kemungkinan ada yang telah pupus buat selama-lamanya. Generasi muda sekarang ini pula tidak lagi meminati tumbuh-tumbuhan ini, jauh lagi dapat mengecam dan menghayatinya sebagai warisan negara.

Nota:  Buku Dalam Dusun Melayu akan terbit tidak lama oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.